1. GTA adalah gerakan orang Melayu.
2. Ini tidak bermakna GTA rasis dan bermusuh dengan bukan Melayu.
3. Ingatlah sejak merdeka Malaysia diperintah oleh Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu.
4. Tetapi di masa merdeka-lah orang bukan Melayu maju sehingga tertinggal orang Melayu di belakang.
5. Walaupun usaha dibuat untuk kurangkan jarak antara Melayu dengan kaum lain, hak dan kemajuan perniagaan dan perusahaan orang bukan Melayu tidak terhalang.
6. Jangan takut Melayu GTA. Melayu GTA akan beri tempat kepada kaum lain dalam pemerintahan.
7. Melayu GTA akan junjung tinggi keluhuran undang-undang dan pemisahan kuasa antara legislative, executive dan judiciary.
All posts by Che Det
BOSAN DENGAN POLITIK
1. Ramai yang dakwa mereka bosan dengan politik.
2. Kalau bosan tak buat apa-apa. Tak undi pun.
3. Akan terus bosan selama-lamanya
4. Tetapi apa yang boleh buat. Boleh undi jatuhkan punca bosan.
5. Tak undi – punca bosan akan menang. Kerana yang akan undi hanya yang disogok wang.
6. Dan yang bosan akan lebih bosan.
7. Negara akan hancur, oleh itu semua yang bosan perlu undi tolak dan jatuhkan punca bosan.
8. Gerakan Tanah Air akan pulih dan kembalikan Harimau Asia.
9. Tak ada bosan lagi.
KETEPIKAN EGO 2
1. Saya perlu buat sedikit penjelasan berkait dengan klip video saya baru-baru ini berkenaan mengenepikan ego.
2. Kenyataan itu sebagai satu penerangan kepada mereka yang mengata dan menghina saya kerana dulu terhegeh-hegeh jumpa Datuk Seri Anwar untuk dapat sokongan sebelum PRU ke 14.
3. Saya terangkan saya sanggup lakukannya kerana ketika itu saya merasa negara berdepan dengan kerosakan yang amat besar akibat perbuatan Datuk Najib dan kleptokrat di dalam Kerajaan.
4. Kerana itu saya ketepi perasaan peribadi dan sanggup telan kecaman yang kata saya jilat ludah sendiri apabila bertemu musuh musuh saya termasuk Datuk Seri Anwar untuk menjatuh musuh Negara yang amat besar kejahatannya.
5. Saya berasa pada ketika itu Datuk Seri Anwar juga berfikir semacam saya, dan sebab itu dia juga sanggup bekerjasama dengan saya.
6. Atas sebab-sebab tersebut, semasa itu, saya sanggup memulakan langkah jika yang lain tidak sanggup memulakannya.
7. Kenyataan itu adalah satu rujukan kepada apa yang berlaku sebelum pilihan raya 2018 dan menjelas kenapa saya sanggup bekerjasama dengan musuh-musuh politik saya ketika itu.
8. Dan keputusan saya pada ketika itu telah membuah hasil hingga pembangkang berjaya jatuhkan Kerajaan yang rasuah dan merompak harta Negara.
9. Jadi tidak timbul saya mahu atau tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin pemimpin pembangkang yang lain pada kali ini kerana prinsip itu tidak berubah.
10. Yang saya tidak pasti ialah jika pemimpin-pemimpin pembangkang hari ini telah berubah fikiran dan perasaan terhadap UMNO.
11. Saya juga tidak pasti jika pemimpin pemimpin pembangkang masih merasa UMNO akan merosakkan Negara jika kembali memimpin dan akan membawa kembali kleptokrat untuk memerintah.
12. Atau mungkin ada di kalangan pemimpin pembangkang bersedia bekerjasama dengan UMNO selepas pilihan raya.
13. Kerana itu saya tidak memulakan langkah kecuali dengan mereka yang saya yakin berfikiran semacam.
14. Untuk pemimpin pembangkang yang lain, kali ini terserah kepada mereka.
SIASATAN TERPILIH
1. Saya tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
2. Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.
3. Tetapi amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Tan Sri Apandi Ali yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa dia menjadi Peguam Negara sebelum Thomas.
4. Kesalahannya melepas Datuk Seri Najib dari sebarang tindakan undang-undang juga jelas menunjuk Apandi terbabit di dalam menutup skandal 1MDB.
5. Bagaimana boleh Apandi sebagai seorang Peguam Negara dengan mudah melepas Najib sedangkan sembilan hakim – bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim mahkamah persekutuan – kesemuanya mendapati Najib bersalah.
6. Bahkan seorang lagi hakim mahkamah tinggi Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022, di dalam penghakiman bertulisnya, sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, telah membuat kesimpulan bahawa Apandi, antara lain:
i) Adalah seorang penipu;
ii) Gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara;
iii) Ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah 1MDB;
iv) Mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan menyucikan Datuk Najib dan
v) Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama dari pihak berkuasa Switzerland dan juga Department of Justice Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.
7. Azimah turut menyatakan “rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.”
8. Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.
9. Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh Kerajaan kerana Kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya.
10. Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat di dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh.
11. Saya sebenarnya sudah menduga, setiap kali saya bersuara mengenai salah-laku Kerajaan akan ditimbul perkara-perkara sebegini untuk menutup mulut saya.
12. Mereka boleh cuba, tapi saya mahu ingatkan mereka bahawa selagi ada hayat, saya tidak akan bisu, buta atau tuli apabila melihat kemungkaran yang mereka lakukan.
PARTI PEJUANG
1. Kerajaan tidak meluluskan Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan rakyat dari semua lapisan untuk mendiri Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.
2. Oleh itu GTA terpaksa mengguna Parti Pejuang Tanah Air sebagai gantinya dalam PRU 15.
3. GTA terdiri dari orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah. Hanya orang Melayu sahaja yang faham apa yang dihadapi oleh orang Melayu.
4. Dahulu orang Melayu dilindungi, oleh Kerajaan-Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu UMNO. Tetapi UMNO di bawah Najib sudah ubah perjuangan UMNO dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO.
5. Sebab itu Gerakan Tanah Air ditubuh untuk melindungi dan memaju orang Melayu. Gerakan akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.
6. Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu melakukan.
7. Tumpuan kita bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara. Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka.
8. GTA menggunakan Parti Pejuang dalam PRU 15 ini kerana Kerajaan tidak melulus pendaftaran GTA. Tetapi Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO.
9. Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini.
KEPIMPINAN UMNO
1. Kepimpinan UMNO tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.
2. Sebenarnya serangan terhadap UMNO disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU 15 dan mendiri Kerajaan kleptokrasi.
3. Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa. Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.
4. Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda 210 million Ringgit bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO. Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO.
5. Apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang. Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat Cash is King memerintah sekali lagi.
6. Sebab itu menjadi tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi akan keburukan pemerintahan UMNO dibawah pimpinan Najib dan sekutunya.
7. Malaysia sudah jadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.
8. Sebaliknya ia berpendapat melalui sogokan wang yang banyak kepada rakyat, UMNO akan dipilih dalam tiap-tiap PRU.
9. Untuk jayakan kepercayaan “Cash is King” atau “Wang Tunai itu Raja” Najib mencurahkan berbillion Ringgit kepada UMNO dan rakyat secara percuma.
10. Dari mana datang dana yang besar ini. Mudah sahaja. Najib dirikan 1MDB syarikat milik Kerajaan bermodal 1 juta Ringgit dan syarikat meminjam lebih dari 40 billion Ringgit dengan faedah yang tinggi.
11. Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian UMNO. Dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya.
12. Sebaliknya mereka teruskan sokongan mereka kepada Najib. Pengundi dalam PRU juga disogok oleh Najib supaya UMNO menang.
13. Najib mungkin percaya bahawa melalui sogokan ini ia akan kekal sebagai Perdana Menteri (PM). Dan sebagai PM ia boleh halang tindakan undang-undang terhadap pencurian wang 1MDB milik Kerajaan, olehnya.
14. Tetapi dalam PRU 14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan. Dan kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib. Selain dari itu prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai kleptokrasi, iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri. Dan Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.
15. Di masa yang sama politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan Kerajaan-Kerajaan yang lemah yang tidak cekap. Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun.
16. Adalah jelas jika Kerajaan UMNO tidak ditamatkan Malaysia akan alami keadaan yang lebih teruk. Pemulihannya tidak dapat dilakukan.
17. Semua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta negara dan bangsa akan tolak UMNO dalam PRU 15.
KETEPIKAN EGO
1. Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.
2. Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya.
3. Ini benar. Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanahair.
4. Semasa saya pergi bertemu dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan Kerajaan UMNO/BN pimpinannya dari terus berkuasa.
5. Ketika itu, seluruh dunia melapor puluhan billion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib dan Kerajaan itu tidak dijatuh, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun.
6. Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.
7. Maka pilihan yang perlu saya buat juga amat mudah – untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut.
8. Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.
9. Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan Negara tercapai.
10. Kejatuhan Najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita.
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA
- Terdapat banyak kelemahan dalam pilihan raya.
- Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya tidak hendak dengar teguran berkenaan kelemahan ini.
- Jika tidak dibetulkan rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya.
- Umpamanya telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi. Parti boleh guna maklumat untuk sogokan.
- Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang.
- Tidak bolehkah Suruhanjaya Pilihan Raya tegah membawa telefon bimbit semasa mengundi?
- Dan banyaklah lagi kelemahan pilihan raya yang perlu diperbaiki oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum PRU-15.
BANDUAN ISTIMEWA
1. Dunia ketawa banduan hadir dewan rakyat untuk menasihat Kerajaan bagaimana mentadbir negara.
2. Tidak hairanlah huru-hara berlaku dalam negara.
3. Jika Mahiaddin dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Ismail Sabri, kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain. Tidak perlu bubar Parlimen.
4. Hentikan layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar.
5. Tetapi banduan yang curi RM10 digari dan dipenjara serta merta.
PILIHAN MELAYU
1. Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu. Dalam PRU 15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu.
2. Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.
3. Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.
4. Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia.