1. Hari ini saya berasa sangat sedih. Saya kehilangan seorang kawan baik, pembantu dan penyokong kuat saya yang meninggal dunia pagi tadi. Haji Ismail Manaf telah setia bekerja dengan saya sejak saya jadi Timbalan Perdana Menteri lagi pada tahun 70’an.
2. Ismail seorang yang luar biasa kesetiaannya, tidak pernah tidak datang kerja, tidak pernah cuai. Sehingga semalam pun Ismail masih lagi datang bekerja.
3. Apabila saya datang pejabat, tak pernah Ismail tiada di pejabat, beliau setia tunggu untuk buat kerja-kerja yang diperlukan. Beliau seorang yang berkhidmat bukan semata-mata untuk mendapat upah tetapi kerana percaya apa yang dia sedang lakukan adalah sesuatu yang baik.
4. Semalam Ismail tidak sihat dan sepatutnya bercuti hari ini. Sebelum pulang kami sempat bersalaman. Saya tidak sangka itulah kali terakhir kami berjumpa. Itulah ketentuan Allah SWT, setiap yang hidup pasti akan mati.
5. Hari ini Ismail tak tunggu saya lagi. Saya kehilangan seorang pembantu yang ikhlas. Saya amat terasa kehilangan Ismail.
قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُون