1. Sejak 7hb Oktober kita melihat orang Palestin di Gaza diserang dan dibunuh oleh askar Israel. Kita juga lihat di mana-mana sahaja orang Islam dan agama Islam dihina, ditindas dan dikena berbagai-bagai sekatan.
2. Di Peranchis, wanita Islam tidak dibenar pakai hijab. Orang Islam dihalang dari memasuki beberapa negara.
3. Apabila tekanan dan deraan ini dilaku, tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dibuat oleh orang Islam atau Negara Islam untuk melindungi mereka atau mendapat pembelaan.
4. Di Gaza lebih 40,000 orang Palestin dibunuh, lebih ramai yang cedera. Kanak-kanak dibunuh, bahkan bayi yang baru lahir pun tidak dapat oksigen kerana bekalan elektrik dipotong.
5. Bandar Gaza dan lain-lain bandar di Gaza diserang dengan roket dan dibom sehingga runtuh dan hancur hampir semua bangunan.
6. Seluruh dunia melihat keganasan Israel. Dengan angkuh Israel meneruskan keganasan, membunuh juga ratusan orang Palestin di Tebing Barat. Sekarang Lubnan juga diserang. Tidak ada sesiapa yang bertindak dan menolong. Tidak ada sesiapa yang cuba beri perlindungan.
7. Biasanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu akan hantar pasukan pengaman. Tetapi sejak serangan oleh Israel, tidak ada pasukan pengaman dihantar oleh PBB.
8. Orang Islam hanya dapat berdoa dan sembahyang hajat meminta pertolongan dari Allah s.w.t. Tetapi Allah telah berfirman di dalam Al-Quran bahawa yang berdoa hendaklah berusaha sendiri sebelum Allah makbulkan permintaan mereka. Hakikatnya ialah orang Islam yang berdoa tidak membuat apa-apa untuk melindungi orang Palestin di Gaza dan tebing barat. Sebenarnya mereka tidak mampu untuk bertindak.
9. Sebabnya ialah kerana orang Islam dan negara mereka amat lemah. Sebabnya mereka lemah ialah kerana mereka tidak amal ajaran agama Islam seperti yang terdapat dalam Al-Quran.
10. Sebagai contoh sementara Al-Quran melarang membunuh tetapi mereka sering membunuh. Bahkan apabila dilarang membunuh orang Islam, orang Islam kerap membunuh orang yang seagama dengan mereka.
11. Al-Quran mendakwa bahawa orang Islam itu bersaudara. Tetapi orang Islam sering bermusuh dan berperang sesama mereka.
12. Al-Quran menyuruh orang Islam membuat persediaan untuk melindungi keselamatan ummah Islamiyah. Untuk ini negara Islam dan orang islam perlu memiliki ilmu senjata moden dan pasukan tentera yang boleh menangkis serangan musuh. Tetapi mereka tidak dapat mengeluarkan senjata sendiri. Ramai orang Islam yang berpendapat sunnah Nabi ini ialah berkenaan dengan pemilikan senjata zaman Nabi.
13. Sebenarnya sunnah Nabi ialah keupayaan menyelamat umat Islam. Senjata zaman Nabi tidak mampu menyelamatkan di zaman ini.
14. Senjata yang sesuai di zaman ini ialah machine-gun, roket, meriam, kereta kebal, pesawat pejuang, kapal perang dan lain-lain. Orang Islam tidak dapat cipta dan mengeluar senjata ini.
15. Sebabnya ialah oleh kerana mereka tidak miliki ilmu dan kepakaran yang diperlukan.
16. Apakah ilmu dan kepakaran yang diperlukan? Umumnya ilmu sains dan matematik. Di zaman dahulu, ilmu-ilmu ini memang ada pada orang Islam. Tetapi apabila datang pendapat bahawa kononnya ilmu-ilmu ini tidak memberi pahala untuk akhirat, orang Islam mengenepi ilmu-ilmu ini. Dengan itu keupayaan mereka mencipta dan mengeluar senjata-senjata ini terhakis.
17. Jika orang Islam berhajat untuk tunaikan kewajipan mereka untuk melindungi dan menyelamat umat Islam, penguasaan ilmu sains dan matematik hendaklah dituntut oleh mereka.
18. Jika orang timur boleh kuasai ilmu-ilmu ini dan mereka mampu mencipta dan mengeluar alat-alat pertahanan ini, tidak ada sebab kenapa orang Islam tidak boleh.
19. Islam juga perlu mengadakan sebuah negara maju untuk melindungi umat Islam.
20. Di zaman Uthmaniyah, tidak siapa berani menghina dan menekan orang Islam atau negara Islam. Mereka takut akan kekuatan rejim Uthmaniyah.
21. Sejak kejatuhan Uthmaniyah tidak ada satu pun negara Islam yang cukup maju sehingga dihormati dan ditakuti oleh musuh Islam.
22. Jika kita ingin tunaikan kewajipan kita seperti yang diwajibkan oleh agama Islam kita, tindakan menuntut ilmu dan membangun keupayaan mencipta dan mengeluar senjata moden hendaklah diusahakan oleh negara-negara Islam dan orang Islam.
23. Jika kita perlu guna bahasa orang asing untuk dapat ilmu penting ini, kita perlu guna.
24. Islam mewajib kita baca.
25. Membaca membuka penguasaan ilmu.
26. Tidak ada larangan terhadap membaca untuk mendapat ilmu orang bukan Islam. Iqraq – baca – adalah wahyu yang pertama yang disampaikan kepada Nabi Muhammad SAW. Pada masa itu tidak ada Al-Quran atau kitab yang menjelaskan agama Islam. Yang boleh dibaca ialah rencana dan ilmu dari bangsa lain.
27. Orang yang memeluk agama Islam membaca tulisan orang Yunani, Hindi dan lain-lain agama untuk ilmu bukan agama. Buat beberapa kurun tokoh ilmuan Islam menguasai ilmu dalam bidang sains dan matematik.
28. Jika hari ini orang Islam ketinggalan dan lemah dan tidak dapat tunai kewajipan mereka melindungi umat Islam, sebabnya ialah kerana ilmu yang ada pada mereka berkurangan.
29. Demikian apabila kita disuruh(wajib) mempertahan umat Islam, bukan senjata zaman Nabi yang mesti kita miliki tetapi kemampuan mempertahan umat Islam.
30. Untuk ini kita perlu ilmu, kepakaran dan kebolehan berperang dengan cara moden yang perlu diusaha oleh kita.
31. Kesedaran ini perlu ada pada kita jika ingin lihat agama kita dan umat Islam tidak lagi dihina dan ditekan.