Kegagalan Barisan Nasional

1. Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi,
Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri telah
menyalahkan semua orang kecuali dirinya sebagai penyebab prestasi
Barisan Nasional yang buruk pada Pilihanraya Umum ke-12.

2. Dia
menyalahkan pengundi kerana kononnya tidak mahukan dia menang
dua-pertiga majoriti; ahli Barisan Nasional kerana sabotaj, ahli UMNO
di Kedah dan Perak juga kerana sabotaj, Tengku Razaleigh Hamzah kerana
kekalahan Barisan Nasional di Kelantan dan saya sendiri kerana lantang
mengkritik dirinya dan Kerajaan pimpinannya.

3. Apa yang
dikatakan olehnya bukanlah semuanya salah. Ada banyak kebenaran di
dalam apa yang dikatakan. Saya tahu ramai ahli UMNO yang mengundi
pembangkang. Saya akui apa yang saya katakan mungkin pengaruhi
sesetengah daripada mereka untuk lakukan apa yang tidak pernah terfikir
oleh mereka.


4. Tetapi soalnya, kenapakah
mereka berbuat demikian? Ahli UMNO selalunya amat setia terhadap parti
mereka. Mereka tidak akan mengundi pembangkang, terutamanya PAS dan
DAP. Tetapi di dalam Pilihanraya Umum 2008, mereka buat demikian.
Bagaimana pembangkang boleh menang jika mereka tidak mendapat undi
penyokong Barisan Nasional? Kekurangan jumlah undi pada calon Barisan
Nasional hampir sama jumlahnya denganpeningkatan undi untuk parti
pembangkang.

5. Selama 50 tahun dan 11 Pilihanraya Umum, ahli
UMNO dan rakyat Malaysia secara purata tidak pernah gagal menyokong
UMNO mahupun Perikatan/Barisan Nasional. Kecuali pada tahun 1969
apabila orang Cina tidak memberi sokongan mereka, Perikatan dan Barisan
Nasional menang dua-pertiga majoriti tiap kali.

6. Tunku Abdul
Rahman (kecuali Pilihanraya Umum tahun 1969), Tun Razak, Tun Hussein
Onn, dan saya sendiri tidak pernah gagal menang lebih dua-pertiga
majoriti. Sudah tentu kami tidak pernah menyalahkan ahli parti kerana
sabotaj. Tetapi Dato Seri Abdullah mengakui bahawa dirinya telah
disabotaj oleh ahli UMNO.

7. Ahli UMNO tidak mahu parti mereka
kalah. Tetapi mereka rasakan perlu untuk hantar mesej kepada Dato Seri
Abdullah dan konco-konconya yang hanya berminat untuk mengiakan setiap
apa yang dia katakan. Mereka (ahli UMNO) tidak boleh meluahkan perasaan
mereka kerana semua jalan telahpun tertutup. Perwakilan ke Perhimpunan
Agung UMNO dipilih kerana mereka tidak akan mengkritik Presiden. Anak
saya Mukhriz apabila menyatakan tidak ada benda baru yang disampaikan
presiden parti dalam ucapan 2006 telah dipanggil oleh Jawatankuasa
Pemuda, dimarahi dan diarah untuk memilih antara bapanya dan Presiden.

8.
Majlis Tertinggi UMNO dan Kabinet dipenuhi “Yes-Men” yang tidak pernah
menyuarakan ketidakpuasan hati ahli UMNO di peringkat akar umbi. Ahli
UMNO diugut tindakan disiplin jika mendengar ucapan sesiapa yang tidak
mendapat restu atau kelulusan Presiden. Ini termasuk saya. Polis dan
UMNO Negeri akan memanggil pihak yang menjemput saya dan diarah menarik
balik jemputan mereka.

9. Apabila ahli UMNO tidak dapat
menyuarakan pendapat sebenar mereka berkenaan Kerajaan, hanya terdapat
satu cara sahaja bagi mereka untuk menyatakan ketidakpuasan hati
mereka, iaitu dengan undi mereka dalam Pilihanraya Umum. Undi secara
dasarnya adalah rahsia. Begitu takutnya pengundi UMNO ini akan orang
lain mengetahui tentang niat mereka, maka mereka tidak mendedah kepada
sesiapapun niat mereka untuk mengundi pembangkang. Begitulah
sehinggakan tiada siapa dapat meramal dengan tepat peralihan sokongan
yang besar yang berpihak kepada pembangkang.

10. Sesetengah
ahli UMNO masih tidak sanggup mengundi pembangkang. Oleh itu mereka
sengaja rosakkan undi mereka. Terdapat 300,000 undi rosak, satu angka
yang mungkin terbesar dalam sejarah pilihanraya. Tak mungkin setelah 50
tahun dan 11 Pilihanraya Umum pengundi masih lagi tidak tahu bagaimana
nak mengundi.

11. Mungkin kerana saya pengundi UMNO berbuat
demikian. Saya telah menyeru ahli UMNO untuk mengundi calon yang
terbaik dan bukan hanya parti. UMNO boleh meletakkan calon yang
benar-benar baik tetapi walaupun Presiden memberi jaminan yang semua
calon bersih dan berkelayakan, mereka kalah. Ini kerana calon tidak
baik dan ini mengganti calon yang berjaya atau “giant killers” yang
telah berjaya pada pilihanraya lalu. Kebanyakan calon payung terjun
muda dan ahli UMNO marah kerana mereka syak calon muda ini dipilih oleh
orang tertentu. Buatlah satu kajian untuk tentukan berapa ramai calon
baru ini yang kalah.

12. Kepimpinan parti percaya yang ahli
UMNO akan undi siapa sahaja yang dipilih oleh kepimpinan parti.
Kepimpinan salah apabila memiliki pendapat ini.

13. Pengundi
UMNO begitu sekali marah hinggakan mereka sanggup undi calon
pembangkang yang bukan sahaja tidak layak dari segi akademik, tetapi
tidakpun berpengalaman.

14, Kepimpinan UMNO dan Barisan
Nasional, terutamanya Dato Seri Abdullah patut terima kenyataan.
Pengundi tidak menolak atau sabotaj Barisan Nasional tanpa sebab. Pada
tahun 2004 pengundi belum lagi dapat menilai kepimpinan Dato Seri
Abdullah. Jadi tidak ada sabotaj. Tetapi pada 2008 mereka telah dapat
melihat siapa sebenarnya Dato Seri Abdullah. Dan mereka tidak suka apa
yang mereka lihat.

15. Perkara pertama yang dilakukan selepas
menjadi Perdana Menteri ialah untuk membawa masuk ahli keluarganya
secara tidak rasmi ke dalam pentadbiran Kerajaan. Beliau boleh
menafikannya tetapi orang ramai tahu akan kegiatan Khairy Jamaluddin
dan Kamaluddin Abdullah serta konco-konconya termasuk budak-budak
Tingkat Empat. Mereka sering turut serta dalam mesyuarat rasmi Kerajaan
dan apabila Perdana Menteri mengadakan perjumpaan.

16.
Kemenangan Khairy Jamaluddin sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO menaikkan
kebencian ramai. Jika veteran parti dengan rekod perkhidmatan yang lama
yang menang tanpa bertanding tidak ada sesiapa yang akan membantah.
Tetapi Khairy berada dalam UMNO kurang dari lima tahun dan tidak pun
mempunyai rekod perkhidmatan cemerlang di dalam UMNO. Bagaimana dia
boleh menang tanpa bertanding?

17. Pengambilalihan Scomi oleh
Kamaluddin timbulkan tandatanya. Seorang pemegang saham terbesar Scomi
ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Dia masih lagi ditahan.
Pada waktu yang sama Scomi menang banyak kontrak yang melibatkan
kelulusan Petronas.

18. Scomi juga telah mengambil-alih
M-Trans baru-baru ini kerana sistem monorel telah dicadangkan untuk
Pulau Pinang. Keputusan juga dijangka dibuat untuk meneruskan projek
monorel Putrajaya.

19. Setelah berjanji ketelusan dan pengagihan
kontrak melalui tender terbuka, Kerajaan terus memberi kontrak yang
besar kepada Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), dan selalunya sebelum
Unit Perancang Ekonomi dapat membuat penilaian dan perancangan. Tidak
ada tender. GLC ini tidak punyai kemampuan untuk menjalankan
projek-projek ini. Ianya kemudian akan di sub-kontrak kepada
kontraktor-kontraktor yang tiada sesiapa pun tahu. Dipercayai bahawa
harga kontrak ditingkatkan melebihi harga jangkaan asal.

20.
Kalimullah Masheerul Hassan dan ECM-Libra tiba-tiba menjadi begitu
terkenal. Kalimullah mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Kerajaan.
Sebuah syarikat Kerajaan yang besar, Avenue Assets digabungkan dengan
ECM-Libra yang rendah nilai sahamnya. Tetapi nilai saham Avenue Assets
sengaja diturunkan supaya ECM-Libra dapat menguasai syarikat gabungan
ini.

21. Kalimullah juga berpengaruh kerana dianya adalah
timbalan pengerusi eksekutif New Straits Times Press dan mempunyai
suara yang besar di dalam bilik berita New Straits Times. Oleh itu Dato
Seri Abdullah sentiasa dipaparkan dalam keadaan yang amat baik. Cerita
yang menonjolkan Abdullah akan mendapat kelulusan untuk disebar meluas.

22.
Malang bagi Abdullah, dia mula mempercayai cerita-cerita ini dan
menyangka yang dia benar-benar popular. Oleh sebab itu dia telah
mengadakan pilihanaya awal menyangkakan yang dia akan sapu bersih. Dia
tidak menjangkakan yang pengundi menolak kepimpinannya. Tetapi dia
masih lagi bertegas bahawa dia menang.

23. Di awal
pemerintahannya dia memutuskan untuk tidak meneruskan apa yang
dikatakan “mega projeck” yang saya sendiri telah mulakan. Itu haknya.
Yang tidak betul dan apa yang membuatkan orang berfikir yang dia
sebenarnya berdendam adalah cadangan yang mengatakan saya membuang duit
ke atas banyak “pet” projek saya sehinggakan Kerajaan sudah tidak
mempunyai wang untuk meneruskannya. Sebenarnya orang tahu bahawa
projek-projek berkenaan amat diperlukan. Bayangkan Malaysia tanpa KLIA,
Stesen Sentral, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Utara-Selatan, projek
rel-keretapi berkembar dan elektrik, LRT, monorel Kuala Lumpur,
Putrajaya dan Cyberjaya, lebuhraya bertol, Pelabuhan Barat, Pelabuhan
Tanjung Pelepas, Litar lumba Formula 1, Menara KL dan lain-lain

24.
Saya tidak akan sebutkan berkenaan perkara-perkara yang dilakukannya
yang menyentuh diri saya dan umumnya tidak diketahui orang ramai. Ini
kerana pengundi tidak mungkin dipengaruhi perkara ini.

25.
Tetapi apa yang diketahui ialah reaksinya terhadap kritikan saya
berkenaan APs (Approved Permits) dan keputusan untuk tidak membina
jambatan bengkok di Johor. Dia dan menteri-menterinya menghina saya di
khalayak ramai dan di satu ketika hendak melucutkan saya daripada
keahlian parti. Datuk Seri Nazri Aziz terutamanya, amat biadap.

26.
Rakyat juga tahu bahawa dia dan rakan-rakan Kabinetnya, yang
kebanyakannya adalah lantikan saya amat tidak mengenang budi. Rakyat
juga tahu bahawa jika bukan kerana saya Abdullah tidak akan jadi
Perdana Menteri hari ini. Begitu juga kebanyakan yang lain yang
dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat
saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan.
Sekarang mereka menentang saya dan menghina saya dengan cara yang amat
tidak sopan. Saya tidak tersinggung kerana ini tetapi saya fikir orang
ramai anggap perangai sebegini amat buruk.

27. Ketakutan yang
Abdullah semaikan dalam diri Menteri-Menterinya, ahli Majlis Tertinggi
UMNO dan kepimpinan UMNO yang lain begitu hebat sekali sehinggakan
tiada yang sanggup berdiri mempertahankan saya ataupun untuk
mempertikaikan apa yang Abdullah dan rakan-rakannya kata..

28.
Jika Singapura tidak bersetuju untuk membina jambatan lurus melainkan
pasir dijual kepadanya, kita sepatutnya boleh teruskan pembinaan
jambatan bengkok kerana ianya tidak ada kena-mengena dengan Singapura.
Tetapi kerana marahkan penolakan rakyat Johor terhadap usaha menjual
pasir dan kebenaran bagi jet pejuang Singapura melintasi ruang udara
Johor, Abdullah telah batalkan pembinaan jambatan bengkok. Kenapa?

29.
Saya percaya ianya kerana 1 billion meter persegi pasir yang dia mahu
jual kepada Singapura tetapi dibantah Johor. Ada orang yang akan
mendapat untung hingaa satu bilion Ringgit dalam masa 20 tahun dari
penjualan pasir. Singapura bersedia membeli pasir pada harga yang lebih
tinggi daripada pasaran kerana tanah yang ditambak akan dijual pada
harga antara 3,000-5,000 dolar Singapura satu kaki persegi.

30.
Bantahan Johor adalah kerana perlombongan pasir dasar laut akan
menyebabkan hakisan pantai, kemusnahan kawasan pembiakan ikan dan akan
menyebabkan nelayan Johor kehilangan kawasan menangkap ikan. Royalti
yang akan dikutip Johor juga tidak terbanding dengan keuntungan yang
diraih Singapura dengan mejual tanah tambak.

31. Terdapat
beberapa perkara lain yang dilakukan Abdullah yang orang tidak suka.
Ini termasuk isu pengeluaran AP, penjualan MV Agusta, masalah bangunan
CIQ Johor Baru, pembatalan projek landasan berkembar dari Johor Baru ke
Padang Besar, masjid kristal di Terengganu, Monsoon Cup,
koridor-koridor serta pengubahsuaian Seri Perdana.

32. Banyak
juga perkara yang tidak popular yang dilakukan Dato Seri Abdullah yang
telah menyisihkan ahli serta pengundi UMNO dan Barisan Nasional secara
umumnya. Jika ada sesiapa yang patut dipersalahkan kerana prestasi
buruk UMNO dan Barisan Nasional, dianya adalah Dato Seri Abdullah
sendiri. Ini adalah pendapat majoriti kebanyakan rakyat Malaysia. Jika
mereka diberi kebebasan bercakap, inilah yang akan mereka katakan.

33.
Walau bagaimana pun beliau menolak yang beliau adalah punca
segala-galanya. Walau betapa ramai orang yang beliau salahkan, beliau
tidak boleh menerangkan kenapa malapetaka yang melanda UMNO, MCA, MIC
dan Gerakan dan Barisan Nasional ini tidak pernah berlaku dibawah empat
Perdana Menteri yang terdahulu, tetapi hanya berlaku dibawah
pentadbirannya. Dia tidak boleh menerangkan kenapa berlaku sabotaj oleh
ahli UMNO dan parti komponen pada tahun 2008 sedangkan sebelum ini
mereka amat setia dan tidak pernah gagal memberi Perikatan dan Barisan
Nasional kemenangan dua-pertiga majoriti di Parlimen dan kemenangan di
hampir semua negeri-negeri.

34. Jika Dato Seri Abdullah berdegil
tidak mahu mengundur diri dan jika dia cuba untuk mengenepikan usaha
peralihan kuasa sebelum Pilihanraya Umum akan datang, pengundi serta
ahli parti yang meluat dengannya akan tentukan Barisan Nasional
dikalahkan di peringkat Pusat dan Negeri sebagai satu cara untuk
menyingkir beliau dan mengakhiri tempohnya sebagai Perdana Menteri.

35.
DAP dan PAS akan tentukan Dato Seri Abdullah terus jadi Perdana Menteri
hingga Pilihanraya Umum seterusnya kerana serupa seperti 2008, pengundi
Barisan Nasional yang menyampah dengan BN akan meyokong pembangkang.
Kemarahan Karpal Singh terhadap serangan saya ke atas Dato Seri
Abdullah ialah kerana saya mungkin menyebabkan Dato Seri Abdullah undur
diri. Dengan ini DAP dan parti pembangkang yang lain akan kehilangan
satu orang yang tentunya akan menolong mereka menang. Ini akan menjadi
realiti sekiranya PAS dan DAP berjaya mediri Kerajaan yang baik bagi
Negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka.

36. Apabila ini terjadi maka tidak akan ada apa-apa lagi harapan bagi UMNO untuk kembali berkuasa.

37.
Seperti yang saya katakan, saya mengaku bertanggungjawab terhadap
kemerosotan prestasi UMNO dan Barisan Nasional. Sebabnya ialah jika
Dato Seri Abdullah menang besar beliau akan terus mengabaikan
objektifnya untuk UMNO dan untuk kesejahteraan Malaysia.

38.
Saya akan anggap diri saya sebagai pengkhianat bangsa jika saya biarkan
ini berlaku. Dan mereka yang terus menerus mengampu Dato Seri Abdullah
akan menjadi pengkhianat negara, bangsa dan orang Melayu serta agama
mereka juga.

39. Akhirnya, analisa menunjukkan yang
bertanggunjawab bagi kekalahan yang dialami Barisan Nasional ialah Dato
Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri. Jika dia mahu menebus dirinya dan
bantu pulihkan UMNO dan BN dia harus meletak jawatan dan biarkan
kerja-kerja pemulihan dijalankan oleh pihak lain. Selagi dia terus
kekal Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia,
pemulihan adalah mustahil.

Artikel ini yang penulisan asalnya di dalam Bahasa Inggeris telah disiarkan akhbar The Sun pada keluaran 9hb Mei, 2008

13 thoughts on “Kegagalan Barisan Nasional”

  1. Assalamualaikum TUN…..
    Rasanya TUN kena balik memerintah Malaysia.. Berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir…
    Biaq Jasa Jadi Kenangan…(in memories of Dato Paduka Hj. Ahmad Basri Akhil)
    -Nuhairi-
    Collegian Old Star 90 (SAHC)

  2. ha pak lah jawab la!!!…kenapa tak jawab??? klu apa yg Tun tulis ni palsu…saman la Tun, berani kerana benar pak lah…jgn asyik duduk melayan pekida mengarut kamu tu!!!

  3. Salam TokDet,
    Sy anak jati Kedah tetap menjadi tulang-belakang TokDet. Paklah xboleh pakai langsung otak dia…mmg merosakkan minda anak bangsa terutamanya Melayu. Sy sendiri dh mula muak dgn senario politik M’sia semenjak Paklah bertahta di hati sendiri; bukan di hati rakyat. Kegilaan ini harus dihentikan! Pemuda anak bangsa Melayu tidak terbela malah disempitkan cara berfikir dan luahan suara hati dibekukan oleh agen2 pengampu Paklah ini.
    Paling risau sekarang adalah virus barah politik telah mula merebak kepada ekonomi…potensi ekonomi Melayu yg telah dibina oleh anak2 berminda seperti TokDEt telah dibenamkan oleh “kerajaan pertanian” yg sentiasa mahukan Melayu masih kekal seperti penetapan kolonial British. Industri lumpuh dan meluluh!
    TokDet,
    Sama2 kita teruskan perjuangan yg belum selesai ini. Wawasan2020 dan gagasan yg menjadi TUNJANG kami tidak harus dikuburkan oleh pengkhianat bangsa yg ingin menjadi Bush M’sia ini. Dah la pengecut, minda juga kecut!
    Jmpa lagi TokDet…
    ULTRA-MELAYU

  4. Assalamualaikum ayahanda Tun…
    Setuju sangat-sangat dengan pandangan daripada Ayahanda Tun.
    Selepas PR12, saya dengar penjawat-penjawat awam telah dijemput untuk menghadiri taklimat..di dalam taklimat berkenaan diedarkan kertas soalan untuk mendapatkan maklumbalas berkenaan dgn PR12..statistiknya..saya pasti 99.99% kekalahan BN adalah disebabkan AAB…Justeru itu mengapakah AAB tidak mahu mengerti dan angkat kaki?
    Teringat pula cerita animasi dongeng Sang Monyet dan Sang Kancil yang pernah ditayangkan oleh RTM era 70an..Sang Monyet yang tidak mengendahkan nasihat Kancil yang melarangnya makan buahan yang masak ranum berwarna merah…Sang Monyet dengan angkuh dan sombongnya terus makan dan mengambil buahan itu kerana terpedaya dengan keranuman warnanya…tanpa mempedulikan apa-apa….akhirnyaaaa…lari lintang pukang tak cukup tanah kerana kepedasan..
    Jika selalu menoleh kebelakang/ melihat sejarah dan taksub dengannya..akhirnya kita akan rebah tertungging. Itulah yang terjadi dalam PRU12..AAB terlalu megah dengan kemenangan yang diraih dalam PRU11..dan asyik mengigau sehingga otak yang berkarat tambah berkarat dan tak mampu berfikir apa-apa untuk memajukan negara..akhirnya rakyat jadi muak dan menyampah..yang tahunya naik…naik..naik..semua barang harga naik..
    Keputusan PRU12, langsung tidak menyedarkannya dari mimpi..tetap syok sendiri dan menganggap..’KITA MENANG’…Kalau AAB tak turun dari tahta sekarang ni juga..tengoklah nanti..PRU13..
    teruskanlah perjuangan ayahanda Tun..

  5. salam tun,
    untuk mnceritakan “kegagalan” mentadbir negara adalah sesuatu yg jauh untuk dilangkaui oleh ahli biasa seperti saya. kegagalan menguruskan proejek, kegagalan “mencipta” perniagaan luar & dlm negara adalah sesuatu yg tidak logik untuk sy pertikaikan kerana tidak cukup “ilmu” untuk memperdebatkan nya…
    Namun “kelantangan” serta “keberanian” diantara mereka mengkritik serta “memperlekehkan” pentadbiran terdahulu adalah sesuatu yg amat “menggelikan” hati sy.
    1. Adakah disebabkn pentadbiran terdahulu menjadikan “mereka” kucar- kacir seprti sekarang???
    2. Adakah disebabkn pentadbiran terdahulu telah mnjadikan mereka terpaksa mncari “tongkat” untuk “mmbina” kerajaan seperti mana skarang???
    3. Adakah disebabkn pentadbiran terdahulu telah menjadikan mereka terlalu “takut” untuk “bersuara” tidak seperti sekarang???
    4. Adakah disebabkn pentadbiran terdahulu tidak menjadikan parti cukup “kuat” untuk “perpaduan bangsa” itu sendiri????
    Bgmana kt mahu “cemerlang, gemilang & terbilang”????? seandainya “kegagalan” UMNO itu sendiri tidak cukup untuk dikira “keterbilangannya”..
    “kunun” nya kesetian mereka bukan untuk “dahulu, kini & selamanya” untuk tun….
    bg saya hnya “mereka” sendiri yang tahu makna “tangisan” mereka apabila tun’ sndiri mengumumkan untuk meletak jawatan pd satu persidangan UMNO dahulu…mungkin tak sama apa yng dilihat di kaca tv..

  6. salam Tun,
    saya tidak punya keyakinan utk mengundi samada BN mahupun pembangkang. saya sudah bosan dgn BN tapi saya juga tidak mahu pembangkang memerintah. Bahkan Tun, bukan saya seorg malahan ribuan org menyatakan apa yang saya nyatakan ini. persoalannya, bilakah malapetaka ini akan berakhir? siapakah calon2 yang bakal membersihkan kotoran ini. saya tak nampak? akhirnya, jadilah sistem pentadbiran negara yang paling kucar-kacir.
    wasalam.

  7. Salam Tun,
    apa yang berlaku di Sungai petani membuatkan saya tawar hati terhadap kepimpinan Barisan Nasional. sabotaj di sana sini. wang pemberian untuk berkempen dilarikan oleh pengkhianat. calon BN yang sepatutnya diletakkan di DUN merbok ditukarkan dengan orang lain yang tak pernah nampak muka pun dikawasan yang dilantik.calon BN pilihan orang kampung langsung tak diendah. habuannya merbok and sungai petani jatuh ke tangan pembangkang. sebagai generasi muda yang mentah dalam arena politik pun buleh nampak dengan kelemahan kepimpinan BN yang ada sekarang. hope paklah berundur secepat yang mungkin. tiada apa yang perlu dibuktikan lagi melainkan kelemahan yang ada.
    wallahualam.

  8. salam Tun
    when you were the prime minister, im just too young to vote.But i understand your vision Tun.
    dalam pilihanraya yg lepas, nampaknya DSAAB ni sering menyebut ttg tindakan yg bakal dan akan diambil sekiranya terdapat ahli parti yg sabotaj BN pd pilihanraya tersebut.
    Hairan kenapa dia cuba pass kan kepada org lain kegagalan memimpinnya tu.
    anyone in the right mind can see that he is not fit to be the head of a country.
    Tun i will not praise how great you are.Because u have never been less than that..
    Thank you Tun.

  9. -hujah yang amat bernas,i memang support dato mahathir,kalau boleh gantikanlah org lain selain daripada badawi nih pening la dia nih

  10. Beliau tidak akan mengaku kesalahan dirinya yang menyebabkan BN tewas dalam PRU ke12 baru-baru ini..oleh itu bagaimanakah beliau mampu mentadbir negara ini denga lebih baik? kalau kesilapan sendiri beliau tidak nampak?

Comments are closed.