1. Setiap kali saya mengkritik atau mendedah kesalahan Perdana Menteri, reaksi mereka dan penyokong mereka bukanlah untuk memperbetul atau menerangkan apa yang sedang berlaku.
2. Sebaliknya, mereka menyerang saya dan kononnya akan mendedahkan segala kesalahan yang saya lakukan semasa menjadi PM.
3. Inilah yang berlaku sejak dari zaman Pak Lah dengan Tingkat 4nya, Najib dengan 1MDBnya dan sekarang Anwar Ibrahim dengan pembohongannya berkenaan reformasi dan perjuangan menentang rasuah.
4. Tidak salah untuk mendedahkan kesalahan saya jika ada. Malahan saya berusaha untuk menerang dan bersedia disiasat. Sejak beberapa PM sebelum ini, saya telah hadapi RCI, siasatan polis malahan ahli keluarga saya turut disiasat oleh LHDN dan sekarang oleh SPRM.
5. Isu seperti Operasi Lalang telah saya jawab sebelum ini dan telah saya sertakan video klip di mana Tun Hanif Omar terangkan bahawa ianya tindakan polis tanpa campur tangan dari saya. Perkara yang sama ditulis oleh J.J. Raj, bekas Pesuruhjaya Polis di dalam bukunya “The Struggle for Malaysian Independence”.
6. Kedua-dua mereka diiktiraf sebagai pegawai polis yang tinggi integriti dan dianggap sebagai “role model” di dalam perkhidmatan awam dan bidang kepolisan.
7. Sebaliknya, kesalahan yang dilakukan oleh PM itu tidak dijawab, tidak ada usaha untuk menerangkan sama ada kritikan itu tidak betul atau tersasar.
8. Jabatan-jabatan Kerajaan yang menyiasat saya juga turut tidak mempeduli pendedahan terhadap PM dan amat sibuk menyiasat saya.
9. Inilah yang berlaku semasa era Najib dan skandal 1MDBnya. Peguam Negara yang dilantik olehnya menyucikan Najib. Begitu juga dengan pihak polis, SPRM (yang ketuanya diganti dengan penyokong PM) serta lain-lain agensi yang seharusnya menyiasat skandal tersebut.
10. Hari ini keadaan yang sama berlaku.
11. Setelah saya saman Anwar kerana tidak henti tuduh saya rasuah dan salah guna kuasa, saya memberi peluang untuk dia dedah kesalahan-kesalahan yang dia tuduh saya lakukan selama lebih 30 tahun.
12. Tuduhan-tuduhan ini tidak henti-henti diulang kecuali selama 2-3 tahun ketika saya bersama Pakatan Harapan.
13. Sepatutnya, berdasar kepada kenyataan-kenyataannya yang lampau, Anwar sudah ada berkotak-kotak dokumen yang membukti kesalahan yang saya lakukan. Saya juga bersedia untuk menjawab tuduhan itu di mahkamah.
14. Bukankah mahkamah tempat paling baik untuk Anwar buktikan tuduhan-tuduhan tersebut disertakan dengan kotak-kotak bukti yang ada padanya?
15. Malangnya, sehingga kini tiada bukti yang berkotak-kotak itu. Sebaliknya, Anwar terus mengguna landasan-landasan politik untuk mendabik dada bahawa dia pejuang anti-rasuah terunggul dan akan menangkap tak kira Tun ka, ikan bilis atau ikan jerung.
16. Tetapi, bila disuruh bukti di mahkamah, dia senyap. Sebaliknya, agensi seperti SPRM diarahkan untuk siasat anak-anak saya kononnya mereka memiliki bukti untuk digunakan terhadap saya.
17. Ini maknanya, selama 30 tahun dia tuduh tanpa bukti dan sekarang bila saya saman minta kemuka bukti, terus guna SPRM untuk bantu cari bukti.
18. Di masa yang sama dia bebaskan Zahid Hamidi yang sedang dibicara 47 tuduhan dan hukuman Najib dikurangkan setengah, ada pula ura-ura untuk longgarkan lagi hukuman dengan tahanan di rumah sendiri.
19. Anwar lepas tangan. Kita nak tahu apa pendirian kerajaan jika benar Najib akan dikena tahanan rumah. Begitu juga dengan isu kronisme terbabit bekas setiausaha politiknya.
20. Laporan polis telah dibuat tetapi Anwar buat senyap dan terus buat tuduhan terhadap musuh-musuh politiknya.