1. Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Malaysia, khususnya kepada mereka yang membaca tulisan saya.
2. Setiap tahun baru, lazimnya kita mulakan dengan azam dan semangat memperbaiki diri serta berusaha mencapai yang lebih baik dari tahun sebelumnya.
3. Ia menjadi blueprint atau pedoman untuk adakan matlamat tahun tersebut dan tumpu usaha untuk mencapai matlamat yang digaris.
4. Yang penting gigih berusaha. Bekal diri kita dengan ilmu pengetahuan dan tingkatkan kecekapan. Jangan mengalah.
5. Berazamlah untuk jadi rakyat Malaysia yang lebih baik, yang bertanggungjawab, yang sayang akan negara kita ini.
6. Jadilah rakyat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai murni, yang berprinsip, hormat antara satu sama lain, patuh pada undang-undang dan perlembagaan negara.
7. Pada pertengahan tahun 2025, akan genaplah usia saya 100 tahun. Insya-Allah, jika saya masih bernafas, ia adalah satu perjalanan yang panjang dan penuh dengan dugaan.
8. Alhamdulillah, setakat ini saya dikurniakan kesihatan yang agak baik, masih boleh berdiri, berjalan dan berfikir dengan waras.
9. Satu abad adalah jangka masa yang lama. Di usia ini, saya bernasib baik dapat bersama dalam mengharungi detik-detik penting di dalam sejarah negara.
10. Kita dijajah, diserang dan ditakluk, diserah kepada negara asing, dijajah semula, berjuang untuk mencapai kemerdekaan, merdeka, berperang dan berusaha untuk membangun.
11. Alhamdulillah juga, bermula dari zaman remaja sehingga ke hari ini saya berpeluang berjuang dan bekerja untuk kesejahteraan negara.
12. Sepanjang tempoh itu yang saya lihat, yang menjayakan negara ialah jati diri rakyat, semangat juang rakyat, yang punyai harga diri, yang tidak sanggup gadai tanah dan maruah bangsa untuk apa sekali pun.
13. Apakah kita masih lagi ada semangat serta nilai-nilai murni seperti mereka yang terdahulu dari kita, yang telah berjuang untuk negara agar kita dapat menikmati segala yang kita ada pada hari ini.
14. Selamat Tahun Baru 2025. Semoga Allah s.w.t. sentiasa merahmati Malaysia.
DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
31 DISEMBER 2024