TIDAK JAWAB

1. Pakatan Harapan (PH) tahu awal-awal lagi jika permintaan dibuat untuk berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, maka permintaan itu tidak akan dijawab, sama seperti surat dari PH untuk mengetahui apa sudah jadi kepada permohonan kelulusan bagi perlembagaan PH dan logo/simbolnya.

2. Ini adalah strategi Kerajaan Najib apabila berhadapan dengan tuntutan hak parti lawan yang ditakuti olehnya, jangan tolak dan jangan lulus. Diam sahaja.

3. Tidak menjawab boleh ditafsir dengan bermacam tafsiran yang tidak mendedahkan Najib kepada dakwaan menyalahguna kuasa dengan tidak melulus.

4. Tidak menjawab mungkin disebabkan tidak menerima, atau terima tetapi tidak menolak, atau tidak dapat memutus untuk menolak atau melulus kerana sebab-sebab tertentu, atau sedang dipertimbang.

5. Jika PH seperti biasa menghantar surat bertanya tentang kedudukan permohonan, sekali lagi jangan jawab.

6. Dengan cara ini berbulan-bulan berlalu tanpa PH mengetahui lulus atau tidak perlembagaannya dan simbol. Persiapan untuk PRU tidak boleh dibuat oleh PH. Persiapan mengambil masa yang panjang, sekurang-kurangnya tiga bulan. Selain dari membuat sepanduk dan bendera dengan logo/simbol yang diluluskan, penentuan kerusi dan calon juga mengambil masa. Simbol yang diguna di kertas undi amat penting. Pengundi perlu kenal simbol ini semasa mengundi. Jika tidak dikenali sekian lama sukar bagi pengundi mengundi PH. Mungkin simbol lain yang akan dipangkah.

7. Oleh itu melambatkan kelulusan perlembagaan PH dan simbolnya adalah cara menyalahguna kuasa Kerajaan untuk BN memenangi Pilihan Raya.

8. Selepas lima bulan berlalu tanpa jawapan dari Kerajaan, PH membuat keputusan untuk jumpa Menteri Dalam Negeri. Jika permohonan dibuat untuk maksud ini sudah tentu jawapan tidak akan diberi. Berbulan lagi akan berlalu dan semakin dekatlah Pilihan Raya, semakin pendeklah masa untuk PH membuat persiapan.

9. Oleh itu PH memutus untuk tidak meminta atau memberitahu tarikh rombongan PH akan berjumpa Menteri. Kesempatan untuk Menteri menghilang diri tidak dapat dilakukan.

10. Tetapi Kementerian dapat maklumat tentang perancangan PH. Maka hilanglah Menteri.

11. Inilah yang berlaku pada Isnin, 20 November.

12. Sekarang diketahui bahawa ada masalah dengan DAP dan PPBM. Tetapi maklumat diberi secara lisan. Tidak ada surat rasmi. Tanpa jawapan rasmi pembetulan tidak dapat dibuat. Maka terpaksa tunggu lagi.

13. Masa berlalu. Pilihan raya semakin dekat. Tanpa kelulusan rasmi persiapan tidak dapat dibuat. Tunggulah. Kerajaan tidak tolak. Tidak bermakna Kerajaan tidak lulus. Hanya tidak jawab.

8 thoughts on “TIDAK JAWAB”

  1. Assalamualaikum Tun,

    Jika itulah sebabnya ROS belum meluluskan pendaftaran Pakatan Harapan adalah disebabkan isu PPBM dan DAP, maka saya ada satu cadangan. Memandangkan PRU 14 sudah hampir, buat sementara, daftarlah Pakatan Harapan dengan PKR dan Amanah sahaja. Walaupun DAP dan PPBM tidak termasuk, yang penting pendaftaran Pakatan Harapan itu diluluskan. Lagipun dalam PRU 14, yang penting ialah dapat menggunakan lambang Pakatan Harapan.

    Saya juga ingin mencadangkan pihak PH supaya mengawalkan pilihanraya untuk negeri Selangor dan Pulau Pinang. Saya percaya strategi Najib adalah melewat-lewatkan PRU sebab dia tahu ramai orang tidak sukakan BN.

    Terdapat beberapa sebab mengapa saya setuju diawalkan pilihanraya untuk negeri Selangor dan Pulau Pinang. Pertama, dengan pelbagai isu kos sara hidup dan skandal 1MDB, maka kemungkinan besar PH dapat mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang. Lagipun sentimen rakyat bagi kedua-kedua negeri adalah kepada PH. Tetapi matlamat PH bukan sekadar perlu mengekalkan dua negeri ini, tetapi mengalahkan BN secara menyeluruh dalam negeri-negeri ini atau “Total Knockout” (TKO). Saya tidak nampak mengapa PH tidak dapat 100% kesemua DUN negeri dan Parlimen bagi kedua-dua negeri ini. Lagipun BN masih belum bersedia untuk bertanding PRU di kedua negeri-negeri ini. Inilah masa paling sesuai.

    Sebab ke-2, seandaianya kedua-dua negeri ini dapat dikuasai 100% oleh PH, ia akan memberi isyarat dan momentum kepada pengundi-pengundi negeri lain bahawa BN boleh dikalahkan dan PH serius dalam membentuk kerajaan negeri dan pusat. Iainya akan memusnahkan tanggapan bahawa BN akan kekal memerintah walau apapun berlaku.

    Sebab ke-3, dengan penguasaan 100%, ianya sekali gus memusnahkan tangapan ramai bahawa PAS mampu memecahkan undi PH dan strategi tiga penjuru untuk memenangkan BN adalah tidak berjaya.

    Sebab ke-4, kesemua tenaga PPBM, DAP, PKR dan Amanah dari negeri-negeri lain dapat ditumpukan khusus kepada negeri Selangor dan Pulau Pinang.

    Sebab ke-5, ianya menguatkan tanggapan bahawa orang Melayu telah bersedia menggantikan UMNO dengan PPBM sebagai wadah baru perjuangan orang-orang Melayu.

    Sebab ke-6, ianya menguatkan tanggapan bahawa PAS adalah tidak releven dan dapat digantikan dengan Amanah dalam perjuangan agama Islam.

    Sebab ke-7, iainya akan membangkitkan semangat rakyat yang mengalami ‘political fatigue” atau kepenatan politik sebab PRU yang sampai sekarang tidak kunjung tiba.

    Sebab ke-8, iainya akan menunjukan bahawa BN sudah tidak releven didalam mentadbir kerajaan.

    Sebab ke-9, jika negeri-negeri ini telah ditawan PH lebih awal, apabila PRU 14 datang, maka PH boleh fokus kepada negeri-negeri lain seperti Kedah, Johor, Melaka.

    Sebab ke-10, iainya akan membuat BN bertambah terhuyung-hayang dan kusut dalam merangka strategi kerana terpaksa bertarung dalam pilihanraya di Selangor dan Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum PRU 14.

    Sebab ke-11, iainya akan ‘demoralize’ akar umbi BN jika kedua-dua negeri ini ditawan PH secara 100%. Mungkin ramai akan ‘jump ship’. Tetapi bagi yang suka lompat parti ini, janganlah dipandang sangat sebab mereka hanya mahu bersama ‘the winning team’.

    Seperti biasa, saya serahkan kepada pihak PH untuk membuat keputusan kerana ianya hanya pandangan pribadi saya sahaja.

  2. As Salam Yg Berbahgia Tun Mahathir,

    ROS bukan tak hendak jawab tetapi mengamalkan sikap double standard dan menerima arahan gelap entah dari mana.

    Sepatutnya menurut mana mana permohonan biasa, ROS telah bertindak balas awal untuk menyatakan di mana letaknya kesilapan PPBM melalui surat dan bukannya melalui sidang media yang terlebih publisiti.

    Saya merasakan ROS telah tidak melihat garis panduannya sendiri dalam hal ini dan double standard telah berlaku.

    Terima kasih.

    Take care Tun M.

    Waalaikummusalam

  3. Tidak perlu sangat adakan pendaftaran bagi gabungan PH. Di Selangor ada calon yang menang tanpa berkempen, tanpa sepandok sepandok, kerana beliau ditahan bawah ISA.
    Yang penting ialah calon PH mesti berwibawa dan jujur, kerana telah terjadi calon pembangkang pada satu ketika dahulu telah dibeli oleh BN dan beliau menghilangkan diri pada hari pencalunan, memberi kemenangan kepada BN dengan tanpa bertanding. Ini berlaku di Selangor juga.
    Bekas bekas ahli UMNO yang “opportunist” hendaklah dielakan dari dicalunkan kerana persepsi burok sedia ada pada mereka. Yang akan menentukan kemenangan bukan ahli ahli parti, tetapi adalah rakyat biasa.
    Bagi mengelakkan calon PH tidak hadir pada hari pencalunan, PH mesti adakan “standby candidate” untuk setiap pencalunan.

  4. Assalamualaikum wbt Tun

    Ini andaian saja. Boleh jadi betul, boleh jadi tidak. Tapi elok bersedia biar apapun keadaannya.

    (2) Katalah pendaftaran PH tidak selesai sebelum PRU14. Saya yakin, perkara ini ada dlm perkiraan PH. So di pihak PH, mungkin akan bertempur dlm PRU14 secara Parti berasingan @ gabungan PKR n Amanah saja. Well apapun, PH secara berpasukan atau sendiri2 kena standby semua bhn2 kempen. Itu di pihak PH.

    (3) Penyamun, kot
    manapun penyamun juga. Saya bersangka, jika PH tidak didaftar, kena pula bertanding sendiri2, maka ada satu strategi yg biasa digunakan dlm Conventional Warfare ie perang secara Insurgency. Ini kira perang gerilalah ie ditubuh pasukan kecil2 utk ganggu Ketumbukan Utama. Perang style PKM dulu2. Tujuannya utk kecamukan Main Force n dgn itu bila berlaku perang besar pasukan lawan mudah utk dikalahkan.

    (4) BN sedang buat benda ini kat PH. Bersatu n DAP telah disusup dgn helah perang gerila. Itu satu. Sebab itu both Bersatu n DAP dijadikan alasan pendaftaran PH disenyapkan!

    (5) Come PRU14, BN kemungkinan besar akan taja 3-5 calun bebas. Calun2 ini akan guna lambang hampir2 sama dgn calun2 PH yg ada. Dgn cara ini, orang Kampung, orang2 tua, budak2 muda yg tak focus, mai masa
    pangkah depa jadi keliru. Kekeliruan ini menyebabkan mana yg nak pangkah parti PH akan penin. Kemungkinan utk depa khilaf pangkah tinggi. So, pls think about this “strategi deception penyamun”.

    Keep our fight to the course of good deed. In Shaa Allah kegigihan dan keikhlasan perjuangan kita akan Allah hargai.

  5. Assalamualaikum Tun.

    Macamlah BN boleh menang dengan main taktik lambat lambat macam ni.

    Dulu Pakatan Rakyat pun tak ada logo bersama pun dah kira gagah jugak.

    Begitulah bijak pandai orang bawahan Najib.

    Terima kasih Tun.

  6. Salam Tun.

    1. Apa..??? tidak jawab. Hairan bin ajaib. Awat ada beribu-ribu permohonan ka..?? adakah ini di katakan masaalah birokrasi.

    2. Ross ini macam pejabat tanahkah macam urusan tanah faraid makan berbulan-bulan malah bila ada masaalah akan bertambah tambahlah jalan penyelesaian.

    3. Kata sekarang setiap Jabatan ada KPI sebagai tanda urus kecekapan menyelesaikan masaalah. Sepatutnya pemberi servis yang di bayar harus menjalan urus niaga pelangannya tampa prijudis.

    4. Kita di bayar maksudnya mendapat upah dan pelangan kita orang yang memberi wang iaitu masuk ke gaji kita. Pelangan sanggup bayar upah pada majikan kita dan kita yang bekerja dalam Jabatan tersebut.

    5. Kalau kita sengaja gagalkan pelangan kita bermakna kita telah makan duit haram kerana menolak kehendak pelangan kita.

    6. Duit pelangan kita ambil sebaliknya kita tidak membantunya untuk lulus sebaliknya membiar pelangan kita rugi kos awal kerana terpaksa mengulanginya semula.

    7. Rugi kos terhadap masa yang terbuang atas belanja harian yang terpaksa di tanggung.

    8. Rakyat akhirnya tahu bahawa ada ajensi yang bekerja untuk kerajaan dengan merugikan rakyat awam.

    9. Lulus adalah satu kejayaan terhadap daya usaha manusia yang sanggup berkorban wang ringgit, tenaga dan masa.

    Wallahua’lam.

  7. Cara kerajaan najib melayan Tun sebegini membuatkan rasa semakin bencikan umnobnpas ni,
    Kerajaan umnobnpas sudah lama kami buang jauh jauh,
    Undi kami hanya untuk PAKATAN,
    Sekali lagi kami yakin Tun, undi kami untuk PAKATAN…

  8. Assalamulaikum.

    Pembangkang adalah salah satu komponen yang penting didalam sesebuah sistem demokrasi. Pembangkang diwujudkan dalam sistem demokrasi untuk mengimbangi pemerintahan kerajaan dan memastikan kepentingan rakyat dan negara sentiasa diutamakan dalam Parlimen. Sebuah kerajaan yang tidak mempunyai pembangkang akan membuatkan parti pemerintah bertindak sesuka hati dan menjadi diktator.

    Jiakalau pembangkang dimansuhkan, kerajaan yang baik terhadap rakyatnya akan perlahan-lahan mulai menindas. Ini adalah kerana tiada wakil yang boleh bersuara untuk membantah. Cukai akan dinaikkan sehingga membebankan, kebajikan rakyat mulai terabai, pentadbiran akan menjadi bertambah korup dan perkhidmatan kerajaan akan menjadi lebih teruk.

    Pemansuhan pembangkang bukanlah bererti tiada langsung parti pembangkang. Pemansuhan pembangkang dilakukan dengan melumpuhkan keupayaannya secara halus dan sistematik. Inilah yang sedang dilakukan oleh BN secara terang-terangan.

    Pemerintah yang jujur tidak seharusnya terlalu takut dengan pembangkang. Ini adalah kerana keduanya berkhidmat secara sepenuh hati demi kemaslahatan rakyat dan negara.

    Saya harap supaya dwi-party system seperti yang diamalkan dinegara maju dapat diamalkan disini.

Comments are closed.