APANDI YANG TERCEMAR DAN MEMALUKAN

1. Sesiapa membaca penghakiman bertulis pada 23 Mei 2022 oleh Datuk Azimah Omar, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kes saman fitnah Mohamed Apandi Ali terhadap Lim Kit Siang pasti membuat kesimpulan bahawa Apandi seorang penipu, gagal melaksana tugas sebagai Peguam Negara dan ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindung jenayah1MDB.

2. Di dalam penghakiman sepanjang 100 muka surat itu, Datuk Azimah turut menyatakan bahawa “mahkamah, walaupun dengan penuh hormat, perlu menyatakan rasa meluat terhadap betapa kejinya keyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas” – Although with utmost respect, this court is pressed to express its disdain to the sordid extent of the plaintiff’s (Apandi) self-contradictory testimony, evasiness and outright untruth.

3. Banyak lagi perkara yang ditimbul oleh Hakim Azimah di dalam penghakimannya yang mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menutup skandal 1MDB dan menyucikan Datuk Seri Najib Razak.

4. Ini termasuk peranan Apandi menyokong cerita dongeng bahawa duit sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun Najib adalah derma Raja Arab walaupun pegawai-pegawai yang dihantarnya ke Arab Saudi untuk menyiasat tidak dapat sebarang bukti bahawa derma itu dari mana-mana Raja Arab.

5. Selain itu, ditimbulkan juga sikap Apandi yang menolak mutual legal assistance (bantuan undang-undang bersama) dari pihak berkuasa Switzerland dan juga dari Department of Justice (Jabatan Keadilan) Amerika Syarikat sedangkan dia sedar bantuan mereka perlu untuk siasatan 1MDB.

6. Banyak lagi damning evidence (bukti-bukti terkutuk) yang ditulis oleh Hakim Azimah di dalam penghakiman sebagai asas menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang yang di dalam satu artikel, antara lain menulis bahawa Apandi perlu menjelaskan kenapa dia membantu dan bersubahat didalam skandal 1MDB.

7. Dengan penghakiman Hakim Azimah, ini bermakna Mahkamah mendapati kenyataan Lim Kit Siang terhadap Apandi bukanlah satu fitnah.

8. Berdasar apa yang telah saya tulis di atas, saya merasa sangat kecewa dengan keputusan Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) yang bersetuju membuat penyelesaian dengan Apandi yang menyaman saya dan Kerajaan kerana memecatnya pada tahun 2018.

9. Jika kita teliti penghakiman yang dibuat oleh Hakim Azimah, amat jelas Apandi telah gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara malahan disyaki terbabit dan bersubahat di dalam skandal 1MDB.

10. Seharusnya, Peguam Negara Tan Sri Idrus tidak tunduk kepada saman Apandi dan bersetuju membuat penyelesaian dan memberi pampasan.

11. Sebaliknya, selain menentang Apandi di mahkamah, Tan Sri Idrus perlu memulakan penyiasatan terhadap Apandi kerana pembabitannya di dalam mempertahan dan bersubahat di dalam skandal 1MDB.

12. Kerajaan Malaysia juga harus malu melantik Apandi, yang begitu tercemar dan terhina, untuk mempengerusi apa-apa badan Kerajaan, termasuklah jawatankuasa siasatan isu Pulau Batu Putih.

Nota: Penghakiman Penuh Hakim Datuk Azimah boleh dibaca disini https://assets.theedgemarkets.com/pdf/apandi-case.pdf