1. UMNO ditubuh untuk menyelamatkan bangsa (Melayu) negara (Malaya dan Malaysia) dan agama (Agama Islam).
2. Pada mulanya UMNO tetap pegang kepada tugas penubuhannya. Dan UMNO berjaya sehingga ia menjadi tunggak kepada Kerajaan Malaysia selama 61 tahun berturut-turut.
3. Pada 2018 UMNO dikalahkan. Ia kalah kerana tidak lagi pegang kepada tanggungjawabnya, iaitu menyelamat bangsa dari bahaya kehilangan negara dan bangsa. Tumpuan perjuangan UMNO hanyalah untuk mengekalkan Presidennya, iaitu Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Apa terjadi kepada bangsa dan negara tidak lagi menjadi matlamat UMNO.
4. Sekarang UMNO masih bercita-cita untuk bertanding dalam PRU 15 dan menjadi Kerajaan Malaysia semula.
5. Tetapi Kerajaan yang UMNO akan dirikan sebenarnya lebih utamakan pembebasan banduan Najib Razak, bekas Presidennya dari di penjara.
6. Apa yang terjadi kepada bangsa, negara dan agama bukan lagi keutamaan bagi parti UMNO. Biarlah negara hancur, tidak dipulih, menanggung beban hutang berbillion, tidak stabil, lemah, dipandang hina oleh dunia – semua ini tidak penting seperti pembebasan bagi banduan Najib.
7. Apa juga cara, sama ada halal atau tidak, diguna oleh UMNO untuk membebas Najib dari hukuman terhadapnya.
8. Hari ini usaha gigih oleh UMNO ialah untuk mendapat keampunan bagi Najib. Sudah tentu ini jugalah hasrat UMNO untuk memenangi PRU 15 dan mendiri Kerajaan.
9. Kita sedang lihat pemimpin UMNO dan ahli juga mendesak supaya PRU 15 diadakan segera.
10. Sebabnya PRU hendak diadakan awal ialah kerana semakin lama semakin sedarlah rakyat akan kesalahan Najib dan pemimpin lain dalam UMNO. Dengan kesedaran ini sokongan kepada UMNO akan merosot.
11. Percubaan akan dibuat untuk sogok wang kepada bahagian-bahagian, cawangan-cawangan dan pengundi. Lebih lambat PRU diadakan lebih bermasalah kerja sogokan.
12. Rakyat perlu fikir dengan mendalam. PRU 15 ini mungkin menjadi peluang terakhir untuk pulih negara.
13. Jika peluang ini terlepas dan UMNO menang dan diri Kerajaan, kuasa Kerajaan akan digunakan oleh Kerajaan UMNO supaya parti lawan tidak mungkin menang.