1. Di zaman revolusi industri di Barat, pekerja ditindas oleh majikan. Upah amat rendah, keadaan dalam kilang tidak selesa, kemalangan kerap berlaku sehingga ada yang terbunuh, dan bermacam lagi.
2. Pemikir Barat berpendapat jika kilang dimiliki oleh Kerajaan, dan Kerajaan pula dikuasai oleh buruh, maka semua keuntungan akan diperolehi oleh Kerajaan dan diagih di antara pekerja. Sudah tentu pendapatan pekerja akan meningkat.
3. Inilah asas ideologi Sosialis dan Komunis. Seperti mana kita tahu sistem ini gagal. Sebabnya ia gagal ialah oleh kerana apabila upah dinaikkan kos pengeluaran turut naik dan harga jualan menjadi tinggi. Rampasan kuasa dan harta golongan kaya pula mengurangkan pasaran tempatan bagi barangan mewah. Tanpa pasaran mewah, walaupun pekerja dibayar gaji yang lebih, jualan tidak laris dan keuntungan berkurangan. Dayabeli pekerja tidak meningkat, iaitu mereka terus menerus miskin. Dalam pasaran dunia pula, barangan harga tinggi dari negara sosialis tidak dapat bersaing dengan barangan dari Asia Timur. Sekali lagi keuntungan menurun sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.