1. Satu lagi kejayaan Najib menukar budaya dan nilai hidup Melayu ialah berkenaan menolak bukti yang jelas dan menerima kenyataan yang tidak berasas.
2. Selama empat tahun Najib dibicara di Mahkamah Tinggi (High Court), Mahkamah Rayuan (Appeal Court) dan Mahkamah Persekutuan (Federal Court), berasas dokumentasi dan cek yang didedah berkenaan duit SRC (anak syarikat 1MDB) yang dimasukkan ke dalam akaun Najib dalam Ambank dan dibelanja olehnya kononnya tidak benar. Dia tidak tahu akan adanya duit ini. Dia belanja duit tanpa mengetahui adanya duit ini.
3. Jika ada duit ini, ia adalah sumbangan dari Raja Arab. Apa bukti? Tidak perlu.
4. Percaya sahajalah dakwaan Najib. Bukti tidak perlu. Bukti adalah penipuan. Tanya AG. Najib tidak salah.
5. Yang benar ialah Mahathir memiliki duit berbillion. Duit ini ada di Switzerland dan Taiwan. Apa bukti? Bukti tidak perlu. Najib tahu. Percayalah sahaja.
6. Yang benar ialah semua anak Mahathir menjadi billionaire semasa Mahathir jadi Perdana Menteri. Apa bukti. Tidak ada. Tetapi Najib tahu.
7. Ada surat dari Mahathir kepada Kementerian Kewangan. Mana dia surat ini. Ada pada Najib. Tunjuk. Tunggu. Akan ditunjuk. Percaya sahajalah. Bukti tidak perlu.
8. Selama empat tahun Najib dibicara. Puluhan saksi memberi maklumat akan kesalahan Najib. Dokumen dan bukti lain dipamer. Hakim menulis 800 muka surat berkenaan yang didedah oleh saksi, bukti, hasil siasatan. Bagi Najib semua yang dicatit oleh hakim tidak benar. Hakim ada conflict of interest. Hakimnya berat sebelah.
9. Yang benar ialah penafian oleh Najib, oleh anaknya dan peguam upahannya. Sembilan orang hakim, tiga mahkamah, bicara empat tahun, semua tidak betul, fitnah.
10. Apa dia yang betul. Dakwaan oleh Najib dan peguam upahannya. Ini yang betul. Bukti, saksi, dokumentasi tidak perlu, semua tidak betul.
11. Ini ialah satu kejayaan Najib. Menjadi yang benar tidak benar dan yang tidak benar diterima sebagai benar.