1. DAP akan hancur orang Melayu – demikian dakwaan Najib dan Muhyiddin.
2. Apakah benar orang Melayu mudah dihancur sehingga sebuah parti politik pun boleh hancur orang Melayu.
3. Apa buktinya dalam sejarah orang Melayu dihancur.
4. Bagi Melayu yang takut dihancur ingin saya rujuk kepada sejarah orang Melayu.
5. Ya. Memang mereka lemah dari segi kewangan. Tetapi mereka tidak hancur. Diserang dan ditawan oleh Portugis, Belanda dan British. Melayu tidak hancur. Ditawan sebahagian oleh Siam, Melayu tidak hancur. Dikuasai oleh Jepun bangsa Melayu terus kekal tidak jadi seperti tamadun Egypt yang sudah hilang, tamadun Greek (Yunani) yang runtuh, tamadun Rome, tamadun Aztec, tamadun-tamadun asli Amerika Tengah dan Selatan yang dihancur dan banyak lagi.
6. Semasa semua tamadun dan negara-negara ini muncul, tubuh dan diri tamadun mereka bangsa Melayu berada dan turut berada
7. British balik dan cuba rampas Tanah Melayu – mereka gagal
8. Melayu tuntut kemerdekaan dari sebuah kuasa besar, berjaya
9. Setelah ambil alih negara, pentadbiran Melayu selamatkan negara dari gerila komunis – mereka diri Kerajaan yang berwibawa, maju berbanding dengan tanah jajahan orang Eropah yang lain, yang hancur jadi serbuk, tidak stabil, tidak maju, tetapi Malaysia dapat ditadbir dengan baik, maju dan Melayu tidak hancur.
10. Orang Melayu memalukan British apabila paksa British gugurkan Malayan Union setelah dirasmi hanya dua tahun.
11. Apabila merdeka pada 1957, Malaysia diancam dengan gerila komunis. Pentadbiran Melayu yang ambil alih dari British berjaya mengalahkan pengganas pada 1960, hanya tiga tahun lepas mentadbir sendiri negara yang baru merdeka. Pentadbiran Melayu, pimpinan Melayu dapat majukan negara lebih dari British.
12. Pada 1969, rusuhan kaum berlaku – tidak seperti negara lain, termasuk Amerika Syarikat (A.S) kita selesai masalah dan negara terus maju.
13. British tidak hormat kita. Kita orang Melayu tolak barangan British dan British tunduk.
14. Penyangak mata wang serang kita. IMF dan World Bank nasihat supaya kita beri kuasa kepada mereka untuk tangani masalah ini. Kita, orang Melayu tolak IMF, tolak World Bank dan kita banteras penyangak mata wang dengan cara kita sendiri.
15. Dalam dunia kita orang Melayu sahaja yang berani tolak pendapat seluruh dunia.
16. Secara terbuka kita kutuk Bush kerana serang Iraq, kerana cetus rusuhan di negara-negara Islam, kerana sokong Israel. Demikian juga dengan Trump. Di UN kita terang-terang tolak pendirian U.S. berkenaan Israel.
17. Dalam dunia hanya pemerintahan Melayu sahaja yang tegur kuasa besar apabila mereka lakukan kesalahan.
18. Inilah Melayu apabila mendiri pemerintahan 96% Melayu selepas merdeka. Kita tidak takut, kita berani dan kita berjaya.
19. Tetapi ada Melayu yang takut kepada DAP. Konon DAP boleh hancur orang Melayu. Orang yang bacul macam ini tidak layak panggil diri mereka Melayu. Demikian juga orang yang terikut-ikut dengan orang Melayu bacul seperti ini.
20. DAP bukan institusi dunia seperti IMF dan World Bank. DAP hanya parti politik. Apa yang ada pada DAP yang perlu kita takut dihancur oleh mereka.
Wahai Melayu
Bersikap beranilah sedikit
Konon saya dikuasai DAP
Konon Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP
Tak masuk akal
21. Kamu ditipu oleh Najib yang takut kena penjara. Setelah ditolak rakyat, Najib mempermain ketakutan orang Melayu untuk kembali diterima ke dalam Kerajaan pintu belakang.
22. Dengan mengguna orang Melayu yang hendak sangat jadi Perdana Menteri, Najib berjaya. Sekarang anak tirinya terlepas. Jika rakyat tidak bantah, dan dengan izin Muhyiddin, Najib juga boleh terlepas dari penjara.
23. Bolehkah kita fikir Najib berusaha bantu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan dia sendiri masuk penjara.
24. Bolehkah kita terima Najib begitu murah hati
25. Fikirlah
KERAJAAN MUHYIDDIN (II)
1. Di waktu Malaysia memilih sistem demokrasi, harapan rakyat ialah Kerajaan Malaysia akan terdiri oleh mereka yang dipilih oleh rakyat.
2. Inilah yang berlaku dalam PRU 14, apabila Kerajaan Kleptokrasi dijatuhkan dan parti-parti yang menentang kleptokrasi diangkat oleh rakyat untuk mendiri Kerajaan Malaysia.
3. Tetapi sekarang kita dapati parti yang ditolak oleh rakyat berjaya merampas kuasa dan mendiri Kerajaan.
4. Ini berlaku kerana parti yang ditolak oleh rakyat berjaya menakutkan sebilangan dari ahli politik Pakatan Harapan (PH), khususnya ahli parti Bersatu, bahawa Kerajaan PH dikuasai oleh parti DAP dan DAP akan hancurkan orang Melayu. Untuk menghalang dari ini berlaku Kerajaan hendaklah terdiri daripada Melayu Islam.
5. Presiden Bersatu melihat peluang untuk jadi Perdana Menteri jika Bersatu jatuhkan Kerajaan PH dan Bersatu menyertai gabungan baru bersama parti kleptokrat untuk dirikan Kerajaan baru.
6. Mungkin ada pemimpin Bersatu yang percaya bahawa DAP boleh hancurkan orang Melayu sehingga mereka sanggup jatuhkan Kerajaan PH, tetapi ramai yang nampak peluang daripada penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional (yang belum ada) untuk jadi Menteri, Timbalan Menteri dan sebagainya.
7. Hari ini kita tahu bahawa untuk mendapat sokongan, Muhyiddin menawar jawatan kepada mereka yang lebih utama perolehan untuk diri sendiri dari perjuangan. Mereka ini sanggup lupa akan sebab mereka dipilih oleh rakyat. Mereka tidak pun berasa terhutang budi kepada rakyat. Yang mereka nampak ialah peluang dan upah dari tawaran oleh Muhyiddin. Untuk ini mereka sanggup bekerjasama dan mendukung kleptokrat yang kononnya mereka benci dahulu.
8. Dengan tindakan mereka ini ramai dalam Kerajaan Muhyiddin terdiri dari perasuah yang utamakan diri sendiri. Hampir semua yang menganggotai Kerajaan Muhyiddin terdiri dari mereka yang utamakan tawaran jawatan dan upah yang lumayan. Perjuangan untuk hapuskan kleptokrat dilupakan. Sebaliknya terdapat sokongan oleh mereka untuk bebas kleptokrat yang sekarang menjadi rakan mereka.
9. Amat malang bagi rakyat yang telah kalahkan parti kleptokrat, tetapi sekarang sekali lagi mendapat Kerajaan Kleptokrat melalui pintu belakang.
10. Jika Melayu hendak dihancur, Kerajaan Kleptokrat seperti inilah yang akan hancur mereka. Betapa tidak. Kehendak rakyat mudah digugurkan. Dan Kerajaan pemimpin mereka yang mudah mungkir janji, yang utamakan kepentingan diri, yang mudah terpengaruh jawatan dan upah, yang kebanyakan tidak mempunyai kelayakan selain dari menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, Kerajaan seperti ini akan rosakkan dan hancurkan negara termasuk orang Melayu.
11. Hari ini tokoh-tokoh di antara penyokong Muhyiddin ke sana ke sini untuk menawar jawatan dan wang untuk menambah sokongan. Siapa yang menolak tawaran mereka akan diugut dan didera.
12. Saya ucap syabas kepada mereka yang berani tolak tawaran Muhyiddin dan sanggup digugur dari parti (secara tidak sah) dan kehilangan pelbagai peruntukan untuk kawasan.
13. Orang seperti ini sahaja yang boleh selamatkan negara dan orang Melayu.
14. Percayalah mereka yang sanggup menjual diri mereka, mereka yang terima “cash is king”, mereka ini akan hancurkan negara bersama orang Melayu.
15. Inilah mereka yang mendiri Kerajaan sekarang.
TELUR DIHUJUNG TANDUK
2. Siapakah orang ini? Mereka ialah:
i. Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak
ii. Dato’ Seri Ahmad Zahid bin Hamidi
iii. Datuk Seri Tengku Adnan bin Tengku Mansor
iv. Datuk Seri Abdul Azeez bin Abdul Rahim
v. Datuk Seri Ahmad bin Maslan
vi. Dato’ Sri Bung Moktar bin Radin
3. Sekarang jumlah wakil rakyat yang menyokong Muhyiddin hanya 114, iaitu tiga sahaja lebih dari separuh (111 wakil rakyat).
4. Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh.
5. Maka Kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh.
6. Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah.
7. Kita sudah lihat bagaimana Riza Aziz dilepas dan Musa Aman juga sudah dilepas.
8. Sudah tentu enam orang ini juga akan didapati tidak bersalah. Maka selamatlah Muhyiddin.
9. Dunia akan ketawa melihat Kerajaan pintu belakang ini putar undang-undang. Yang salah tidak salah. Yang benar salah.
10. Yang menang kalah. Yang kalah menang.
11. Syabas.
12. Norma baru sudah dicipta.
PARTI AAD
1. Saya bercadang untuk tubuh sebuah parti politik.
2. Banyak orang Melayu suka tubuh parti politik. Dahulu saya tubuh parti Pribumi Bersatu Malaysia. Sekarang parti sudah berpecah dua.
3. Sebab itu saya ingin tubuh satu lagi parti politik Melayu.
4. Nama parti ini ialah Parti AAD atau “Parti Apa Aku Dapat”.
Tujuan: Memperkaya orang Melayu yang belum dapat.
Cara: Melantik sebagai pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.
Jemputan: Siapa yang belum dapat boleh buat permohonan
untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan dll.
Yuran: Tidak perlu.
KERAJAAN MUHYIDDIN
1. Saya terpaksa panggil Kerajaan pimpinan Muhyiddin ini sebagai Kerajaan Muhyiddin.
2. Ramai yang panggil Kerajaan ini Kerajaan Perikatan Nasional.
3. Tetapi Parti Perikatan Nasional tidak wujud. Tidak pernah diadakan acara pelancaran parti ini. Tidak pernah didaftar Perikatan Nasional ini di waktu Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.
4. Rakan dalam perikatan ini isytihar mereka bukan anggota dalam kononnya gabungan Parti Perikatan Nasional. Mereka hanya benar ahli mereka sokong Muhyiddin supaya hasrat Muhyiddin untuk menjatuhkan Pakatan Harapan tercapai. Mereka tentukan jumlah wakil rakyat yang sokong Muhyiddin mencukupi.
5. Sepatutnya Muhyiddin dapat persetujuan Parti Bersatu sebelum dia sertai Perikatan Nasional. Tidak ada rekod yang dia dapat persetujuan Mesyuarat Agong Bersatu atau sekurang-kurangnya Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu. Tiba-tiba dia isytihar dia menyertai Perikatan Nasional.
6. Berkenaan dengan keluar dari Pakatan Harapan pun belum diputus secara muktamad. Sebelum Pakatan Harapan dijatuh, Muhyiddin telah adakan majlis makan malam di Sheraton dengan PAS dan UMNO.
7. Apabila saya sebagai Pengerusi Bersatu tidak bersetuju dengan tindakannya menubuh Kerajaannya, dia cuba adakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang sepatutnya dipengerusi oleh saya sebagai Pengerusi parti.
8. Tiba-tiba Muhyiddin isytihar dirinya sebagai Pengerusi Bersatu. Perisytiharan ini tidak mengikut perlembagaan sama sekali. Dia bukan Pengerusi atau memegang jawatan Pengerusi yang sah.
9. Untuk mengada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi setiausaha kerja mengeluar notis. Sepatutnya Setiausaha Agung (SUA) yang mengeluar notis selepas mendapat arahan dari saya sebagai Pengerusi.
10. Untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi ini Pengerusi dan Timbalan Presiden tidak dijemput. Oleh itu mesyuarat terpaksa dibatal.
11. Untuk mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada 4 Jun 2020, Muhyiddin lucut keahlian Pengerusi, Timbalan Presiden dan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang tidak menyokongnya. Dia tidak berkuasa membuat demikian. Sebaliknya ahli Majlis Pimpinan Tertinggi yang baru dilantik yang menyokongnya. Perbuatan ini salah dari segi perlembagaan Bersatu. Oleh itu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi juga tidak sah.
12. Ketua-ketua Bahagian yang tidak menerima tawaran jawatan olehnya dipecat. Ini juga salah.
13. Kemudian dilantik pengganti dari kalangan ketua-ketua dengan tawaran-tawaran tertentu dan janji untuk memberi duit Kerajaan untuk bantu rakyat melalui pengganti ini. Ini juga salah.
14. Untuk Jemaah Menteri ramai dilantik jika terima tawaran darinya supaya sokong. Calon ditanya “apa hendak” dan lantikan dibuat. Jika tidak ada jawatan, cipta jawatan.
15. Hampir 2/3 dari ahli dewan yang menyokongnya dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri. Yang lain dilantik untuk jadi pengerusi syarikat dan institusi – termasuk mereka yang sedang dihadap ke mahkamah kerana aneka jenis jenayah.
16. Inilah cara Muhyiddin. Perlembagaan, aturan-peraturan, bahkan undang-undang tidak diendah sama sekali. Tak hairanlah dia sanggup menerima dan bekerjasama dengan pencuri, perasuah dan penyangak.
BIG DATA
1. Di zaman informasi ini maklumat boleh diputar sehingga yang buruk menjadi baik dan sebaliknya. Kebanyakan kita belum faham kegunaan big data – atau maklumat yang amat luas dan terperinci. Tetapi sudah ada perusahaan besar dalam bidang ini. Di antaranya ialah Cambridge Analytica yang memberi khidmat analisa maklumat untuk tujuan tertentu.
2. Melalui pengumpulan data yang menyeluruh berkenaan individu dalam sesuatu masyarakat, maka pihak pakar analisa boleh kenal pasti sifat berkenaan apa yang disukai dan tidak disukai oleh individu berkenaan dan seterusnya oleh masyarakat. Dengan pengetahuan ini cara mempengaruhi fikiran majoriti anggota boleh ditentukan.
3. Maklumat ini berguna umpamanya untuk mempromosi barang jualan oleh pengusaha dan peniaga. Demikianlah jayanya proses ini sehingga pelanggan membeli sesuatu yang tidak dikehendaki olehnya, semata-mata kerana dipengaruhi oleh iklan yang faham sifat pembeli.
4. Big data ini juga berguna dalam bidang politik. Analisa big data oleh pakar akan kenal pasti apa yang boleh menguasai pemikiran pengundi umpamanya. Dengan pengetahuan ini maka kempen boleh diadakan supaya pengundi terpikat dan menyokong.
5. Di masa lampau ini kita sering lihat calon yang buruk mendapat sokongan dan kemenangan. Kempen yang diasaskan kepada kajian big data boleh menjadikan seorang penyangak dimuliakan dan disokong. Orang ramai boleh lupakan keburukan seseorang dan menjadinya hero yang didewa-dewakan.
6. Orang Melayu dahulu bercakap dengan “pukau”. Apabila kita dapati seseorang itu melakukan sesuatu yang bukan normal tanpa segan silu kerana terpengaruh oleh kuasa yang tidak dikenali, maka kita anggap ia telah kena pukau.
7. Di zaman ini “pukau” dilakukan dengan mengetahui sifat-sifat yang ada pada seseorang atau sesuatu kumpulan sehingga mereka melaku perbuatan yang luar biasa.
8. Pukau moden ini berasas kepada sains dan psikologi. Maklumat terperinci dan menyeluruh (big data) berkenaan seseorang atau sesuatu kumpulan boleh didapati dari segala kegemaran memakan, membeli-belah, jenis hiburan, sukan, pelancongan dan lain-lain. Data yang didapati boleh dianalisa dengan komputer dan peribadi ditentukan. Dari data ini, strategi boleh dibentuk untuk mencapai matlamat.
9. Kos oleh pakar analisa tetap tinggi. Hanya mereka yang kaya raya sahaja yang boleh upah.
10. Tetapi bagi mereka yang berkepentingan dan berduit, mendapat khidmat pakar analisa big data tetap berbaloi. Fikirkanlah melalui cara ini pencuri boleh jadi hero yang didewa-dewakan.
SIKAP
1. Rupa-rupanya ramai juga orang Malaysia yang sanggup menerima pemimpin yang telah curi berbillion duit Kerajaan.
2. Di antara mereka ialah pemimpin dan ahli Parti Bersatu yang dahulu menyertai Bersatu konon kerana berhasrat menjatuhkan Perdana Menteri yang curi berbillion duit Kerajaan.
3. Mereka bekerjasama dengan parti pembangkang dahulu yang mempunyai tujuan yang sama. Dan rakyat pun beri kemenangan kepada mereka kerana percaya keikhlasan janji parti-parti ini sertai pemimpin mereka.
4. Apabila menang Presiden Parti Bersatu rancang bersama parti yang kalah untuk keluar dari Kerajaan Pakatan Harapan supaya jatuhlah Kerajaan Pakatan Harapan.
5. Dengan sokongan pemimpin pencuri, Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri gabungan bersama parti yang kalah yang diberi nama Perikatan Nasional.
6. Apa kata pemimpin lain dalam Bersatu. Apakah mereka sanggup menerima pencuri sebagai pemimpin.
7. Okaylah – asal dapat nikmat.
8. Apa jadi kepada ikrar dahulu untuk lawan dan jatuhkan pemimpin kleptokrat?
9. Oh. Itu ikrar sahaja untuk dapat sokongan pengundi. Sekarang sudah dapat lupakan sahaja.
10. Dengan ini Bersatu akan hancur!! Dengan itu perjuangan untuk selamatkan orang Melayu dari pemimpin kleptokrat jadi apa?
11. Itu masalah Bersatulah. Asalkan kita dapat nikmat okaylah.
12. Di masa hadapan orang tidak lagi akan percaya kita – tak apakah?
13. Itu masa depan.
14. Demikian sikap beberapa pemimpin dan ahli Bersatu.
DAP HANCUR MELAYU
1. Saya amat malu apabila ramai orang Melayu percaya DAP akan hancurkan kita orang Melayu jika ia berada dalam Kerajaan Malaysia.
2. Ya. Saya mengaku orang Melayu mempunyai banyak kelemahan. Mereka tidak berjaya dalam bidang perniagaan dan perusahaan. Kita dapati ramai juga orang Melayu yang miskin, yang terlibat dengan dadah, jenayah-jenayah tertentu dan rasuah. Dalam penjara pun terdapat ramai banduan Melayu.
3. Tetapi benarkah orang Melayu begitu lemah sehingga sebuah parti politik boleh hancur mereka?
4. Ya. Dahulu kita dijajah oleh British. Tetapi negara sebesar India pun dijajah oleh British juga. Kita (negeri-negeri Melayu) tidak ditawan oleh British, walaupun Melaka jatuh ke tangan Portugis dan kemudian Belanda.
5. Kita jemput British untuk nasihat kita dalam bidang pentadbiran. Tetapi seperti di lain-lain tempat. British ambil alih pentadbiran seolah-olah kita sudah jadi jajahan takluk mereka.
6. Lepas Perang Dunia II, British kembali ke Malaya dan merancang untuk benar-benar menjadikan negeri-negeri Melayu milik mereka. Mereka mencadang menubuh Malayan Union yang ditadbir secara langsung dari Whitehall London. Raja-raja Melayu akan hanya menjadi pentadbir agama Islam dan adat istiadat Melayu. MacMichael paksa Raja-Raja Melayu serah negeri-negeri mereka kepada British.
7. Tidak ada rundingan dengan orang Melayu sama sekali. Tetapi kita tahu, orang Melayu bangun dan menentang Malayan Union. Ringkasnya British, suatu kuasa dunia yang baru menang perang terpaksa tunduk kepada orang Melayu, terpaksa batal Malayan Union hanya dua tahun selepas diisytihar.
8. British ingat mudah untuk rampas negeri Melayu seperti mereka rampas Palestin untuk diberi kepada Yahudi. Percubaan untuk rampas negeri Melayu, untuk sebenarnya hancurkan bangsa Melayu gagal. Gagal kerana orang Melayu menentang.
9. Mungkin sekarang ada Melayu bacul. Tetapi Melayu dahulu berani. Susulan kepada penolakan Malayan Union, Melayu tuntut kemerdekaan. Pemuda Melayu tuntut kemerdekaan pada 1957. British bersetuju kemerdekaan diberi pada 1959.
10. Melayu tolak dan tetapkan kemerdekaan pada 1957. Dan 1957 menjadi tarikh kemerdekaan. Banyak syarat yang cuba dikenakan tetapi Melayu tolak.
11. Apabila British terbang pesawat Concorde tanpa izin dari Malaysia, Kerajaan pimpinan Melayu perkenal dasar “Buy British Last”. Kita beli Syarikat Guthrie milik British dalam satu “Dawn Raid” yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia. Semua syarikat penjajah dibeli oleh Malaysia kerana diarah oleh pemimpin Melayu.
12. Demikian juga dengan kuasa besar yang lain. Biasanya tiap pemimpin baru negara-negara kecil di dunia, apabila dilantik akan minta untuk pergi mengadap Presiden Amerika. Kita tidak. Perdana Menteri Malaysia yang menjadi Perdana Menteri pada tahun 1981, hanya pergi Amerika Syarikat (US) tiga tahun selepas dilantik walaupun duta Amerika Syarikat cuba mendapat temujanji sesudah sahaja Perdana Menteri baru Malaysia mengambil alih.
13. Pemimpin Melayu Malaysia sering menegur kuasa-kuasa besar apabila mereka melaku kezaliman ke atas negara yang lemah. Suara pemimpin Melayulah yang lantang menegur selewengan kuasa besar kepada Israel.
14. Percubaan dibuat oleh penyangak matawang untuk Kerajaan pimpinan Melayu Malaysia mengemis bantuan International Monetary Fund (IMF) dan World Bank. Badan-badan ini menawar pinjaman jika Malaysia letak ekonomi Malaysia dibawah mereka.
15. Kita tolak. Kita cipta cara kita sendiri untuk mengatasi masalah keturunan nilai Ringgit. Maka pakar-pakar kewangan dunia pun berkata kita akan muflis – bankrap. Tetapi tidak. Kita pulih semula dengan cepat walaupun pemimpin Malaysia ini orang Melayu, jentera pentadbiran Melayu.
16. Dan banyak lagilah peristiwa yang menunjuk orang Melayu tidak mudah dihancurkan.
17. Tetapi orang Melayu boleh hancur. Mereka akan hancur apabila membenar penyangak jadi pemimpin. Pemimpin seperti ini walaupun Melayu akan hancurkan orang Melayu.
18. Kita tubuh sebuah Parti Melayu untuk memperjuang nasib orang Melayu. Parti ini berjaya; berjaya kalahkan British, capai kemerdekaan, bangun negara sehingga menjadi Harimau Asia.
19. Parti ini tidak pernah kalah. Tetapi pada 9 May 2018, parti ini kalah.
20. Kenapa? Kerana parti bertuah ini mendapat penyamun sebagai pemimpin. Saya tak payah ulang apa yang pemimpin penyangak ini buat. Dari sebuah negara yang dihormati, negara ini menjadi kleptokrasi – negara yang diperintah oleh pencuri.
21. Maka hancurlah parti ini kerana ahlinya sedia disogok dan tidak lagi utama perjuangan orang Melayu.
22. Maka dimomok orang Melayu sehingga ada yang begitu takut kepada DAP. Orang Melayu dan pemerintahan Melayu yang berani melawan British, kuasa-kuasa besar IMF dan Bank Dunia sekarang takut kepada DAP, takut dihancur oleh DAP. Takut kepada Guan Eng. Orang Melayu takut kepada Guan Eng.
23. Dari mana datang bacul ini. Nak dapat perlindungan dari siapa? Dari Najib? Dari Kerajaan Melayu Islam pimpinan penyangak?
24. Ada yang kata, walaupun penjenayah, dia Melayu. Semasa dia memimpin dia lindung Melayukah? Dia kalah kerana melindung Melayukah?
25. Tepuk dada, tanya selera. Boleh main golf dengan Trump adalah bukti kekuatan untuk lindung Melayukah?
26. Pemuda Melayu dahulu lawan dengan British. Tak takut. Pemuda yang sokong Najib ini mencari perlindungan dari Najib. Sudah jadi baculkah?
27. Saya malu. Amat malu.
28. Rupa-rupanya ada orang Melayu yang begitu takut kepada DAP sehingga sanggup mengkhianati rakyat yang beri mandat kepada mereka.
29. DAP tidak mungkin hancur Melayu tetapi mereka akan hancur kerana orang Melayu memilih penyangak sebagai pemimpin.
KRISIS POLITIK
1. Perdana Menteri mendakwa krisis politik bermula apabila saya, Mahathir Mohamad letak jawatan sebagai Perdana Menteri.
2. Benarkah, tiba-tiba tanpa sebab saya letak jawatan? Saya yang kononnya disokong oleh parti Kerajaan dan parti lawan, termasuk Najib Tun Razak dan beberapa lagi yang sedang dibicara atas tuduhan rasuah menyokong saya? Ini tidak masuk akal.
3. Yang benar ialah saya letak jawatan kerana dalam pengakuan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong saya tidak dapat sokongan dari penyokong saya. Saya tidak dapat majoriti dan tidak lagi layak menjadi Perdana Menteri.
4. Di Istana peletakan jawatan saya diterima. Saya diarah pegang jawatan Perdana Menteri buat sementara.
5. Siapa yang akan ganti saya. Rakyat bosan dengan orang politik yang lebih utama politik dari pentadbiran yang baik. Saya cadang diadakan satu Kerajaan Nasional yang bukan orang politik yang berpengetahuan juga akan menyertai Kerajaan. Orang parti juga akan menyertai Kerajaan tetapi sebagai orang biasa yang tidak tertakluk kepada agenda parti mereka.
6. Tetapi cadangan saya ditolak. Saya pun letak jawatan. Dan berlarutanlah krisis ini. Saya tidak tahu bila ia akan tamat??