DAKWAAN BIDEN

1. Joe Biden, Presiden Amerika Syarikat mendakwa Israel sudah terima formula henti perang yang dicadang olehnya dan dilulus oleh UN Security Council.

2. Yang tidak terima, kata Biden, ialah Hamas.

3. Jika Israel terima kenapakah Israel masih menyerang Gaza? Israel bukan sahaja terus menyerang tetapi sudah tingkatkan serangan sehingga lebih ramai rakyat Gaza dibunuh. Tidak ternampak sedikitpun Israel menunaikan penerimaan gencatan perang seperti yang didakwa oleh Biden.

4. Sebaliknya Hamas yang didakwa Biden tidak menerima keputusan Security Council tidak ternampak melaku genocide seperti Israel. Jika ada serangan oleh Hamas sebabnya tentulah kerana menangkis serangan Israel. Selagi Israel menyerang Gaza, Hamas terpaksa bertindak balas supaya tertangkis serangan Israel.

5. Apakah Biden juga kaki pembohong seperti seorang pemimpin Asia yang suka membohong.

6. Hakikatnya ialah usaha untuk tamatkan genocide tidak dibuat secara serius. Sepatutnya Biden sebagai pemimpin kuasa besar mengundang pemimpin-pemimpin Israel dan Hamas untuk membuat pengakuan menghenti perang secara rasmi. Tetapi ini tidak dilakukan. Yang kita dengar ialah kenyataan oleh Biden bahawa Hamas tidak terima keputusan yang disahkan oleh UN Security Council.

7. Sebenarnya Hamas sudah nyatakan penerimaan Biden dan UN Security Council.

8. Genocide oleh Israel masih diteruskan. Kematian penduduk Gaza meningkat.

9. Ini adalah kenyataan yang benar. Dan yang nyata juga ialah Amerika Syarikat masih membekal Israel dengan senjata dan dana untuk Israel meneruskan perang genocide mereka.

10. Jika Israel berani melakukan genocide, sebabnya ialah kerana diizin oleh Amerika Syarikat.

11. The US is as culpable as Israel in committing genocide.