GUNUNG JERAI DAN PERUBAHAN IKLIM



1. Baru-baru ini hujan turun dengan lebat tidak henti-henti di Gunung Jerai. Di beberapa tempat air bertakung dengan banyak. Tanah semakin lembut sehingga menjadi lumpur. Dan lumpur tidak lagi dapat tahan air yang bertakung begitu banyak.

2. Lumpur pun jadi cair dan mula meleleh turun. Sekali gus lumpur yang cair dan air yang bertakung mengalir turun dengan deras, dan lereng-lereng bukit menjadi sungai. Batu besar dan pokok-pokok tercabut dan dibawa turun oleh air yang sudah jadi banyak seperti sungai dan turun dengan deras.

3. Pengaliran air begitu deras dan banyak sehingga apa sahaja tercabut dan dibawa turun. Bangunan juga pecah dan dibawa dengan air turun curam pergunungan. Dan berlakulah malapetaka dan kematian yang dahsyat.

4. Dalam ingatan penduduk, malapetaka seperti ini tidak pernah berlaku. Tetapi kini ia sudah berlaku. Apakah ia akan berlaku lagi. Jawapannya ialah ia bukan sahaja boleh tetapi tetap akan berlaku. Mungkin tidak di Gunung Jerai tetapi di pergunungan lain di Malaysia. Dan mungkin sekali lagi atau lebih di Gunung Jerai.

5. Kenapa ia akan berlaku lagi? Sebabnya ialah kerana perubahan iklim. Mungkin perubahan ini adalah sebahagian ulangan perubahan planet ini selama berjuta tahun. Mungkin juga kerana kepanasan disebabkan kehidupan manusia yang sekarang berjumlah 8 billion (lapan ribu million). Tiap seorang dari kita memanas iklim hanya dengan kita bernyawa. Tetapi kita juga membakar semasa masakan, untuk panas kesejukan musim sejuk sekeliling kehidupan kita. Demikian juga binatang yang mengeluar gas. Jumlah binatang ternakan lebih dari jumlah manusia. Demikian juga binatang liar.

6. Di tempat-tempat tertentu kebakaran hutan yang meluas, yang tidak dapat dipadam berminggu tetap memanas iklim. Di Malaysia juga kita sudah rasai kenaikan suhu.

7. Apabila suhu naik, salji menjadi cair. Kawasan yang ditenggelami air membesar. Kepanasan matahari menyebabkan air di permukaan bumi jadi wap yang naik tinggi dan jadi titisan air dan awan. Apabila sudah banyak wap dan suhu turun kerana tingginya awan, wap menjadi air dan turun ke bumi sebagai hujan. Lebih tinggi suhu, lebih banyak awan dan lebih lebatlah hujan. Sebab itu hujan di Gunung Jerai menjadi begitu lebat, mencairkan lumpur dan turun dengan pantas sebagai air terjun.

8. Kita di Malaysia bernasib baik. Hujan lebat sepanjang masa membasahkan bumi dan menghalang kebakaran. Pokok-pokok hutan menstabilkan bumi dan menjerap air. Kepanasan juga diserap oleh pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan.

9. Tetapi walau pun lebih selamat malapetaka seperti keruntuhan Gunung Jerai masih boleh berlaku di mana-mana sahaja.

10. Oleh itu bersedialah kita untuk aneka jenis malapetaka di masa hadapan.