KENYATAAN MEDIA PENGAMPUNAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM

1. Saya ucap terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara kerana telah memberi penjelasan berkait dengan pengampunan Datuk Seri Anwar.

2. Penjelasan itu melepaskan saya dari tuduhan-tuduhan bahawa saya telah tidak mengikut proses yang betul di dalam mendapatkan pengampunan untuk Datuk Seri Anwar sepertimana saya dituduh di dalam beberapa tindakan saya sebelum ini seumpamanya kes Pulau Batu Putih.

3. Ingin saya jelaskan bahawa sejak dari masa pengampunan Datuk Seri Anwar diumum dalam bulan Mei tahun 2018, beberapa pengamal undang-undang, ada yang agak rapat dengan saya dan juga yang tidak suka dengan saya, telah mempertikai proses pengampunan tersebut.

4. Seingat saya, ada seorang peguam telah memfailkan saman mencabar kesahihan pengampunan Datuk Seri Anwar selepas sahaja saya meletak jawatan sebagai PM pada bulan Februari 2020.

5. Anwar ketika itu cuba membatalkan saman tersebut tetapi ditolak oleh Mahkamah Tinggi. Namun permohonannya dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan atas alasan plaintif tidak ada locus standi (hak).

6. Mahkamah Persekutuan kemudiannya turut menolak rayuan plaintif kerana isu itu sudah menjadi akademik dan pengampunan dilakukan mengikut perlembagaan.

7. Walaupun keputusan telah dibuat, apabila timbul isu addendum di dalam titah Yang diPertuan Agong berkait dengan Datuk Seri Najib dan usahanya mendapatkan kelonggaran tahanan rumah, isu pengampunan Datuk Seri Anwar timbul kembali.

8. Penyokong Datuk Seri Najib mempertikai kenapa titah Yang di-Pertuan Agong tidak di turuti sedangkan apabila Datuk Seri Anwar mendapat pengampunan penuh yang dianggap luar biasa sebelum itu boleh dilaksanakan.

9. Maka pengamal undang-undang tampil lagi mempertikai proses pengampunan Datuk Seri Anwar kerana berlaku percanggahan dari segi perlaksanaan pengampunan Datuk Seri Anwar berbanding dengan addendum tahan rumah Datuk Seri Najib yang dikatakan telah dititahkan oleh Yang diPertuan Agong ketika itu.

10. Sekali lagi peranan saya di dalam proses pengampunan Datuk Seri Anwar dipertikai.

11. Kini timbul pula isu Datuk Seri Anwar ingin mendapatkan “imuniti” (kekebalan) dari menghadapi saman sivil oleh bekas pembantunya di atas tuduhan serangan seksual.

12. Bagi pengkritik Datuk Seri Anwar, tindakannya untuk mendapatkan imuniti itu bertentangan dengan konsep keadilan Negara di mana tidak ada seorang pun yang mempunyai kekebalan dari menghadapi proses undang-undang apabila dituduh melakukan kesalahan.

13. Tindakannya meminta imuniti telah membuat beberapa pihak mengaitkan
“keistimewaan” yang dipohon Datuk Seri Anwar itu sama seperti “keistimewaan” yang diterimanya ketika mendapat pengampunan penuh.

14. Pihak AGC harus sedar semua pertikaian berkenaan Datuk Seri Anwar saling berkaitan dan jika tidak ditangani akan menular menjadi penyakit yang terus menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan Negara.