KETEPIKAN EGO

1. Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.

2. Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya.

3. Ini benar. Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanahair.

4. Semasa saya pergi bertemu dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan Kerajaan UMNO/BN pimpinannya dari terus berkuasa.

5. Ketika itu, seluruh dunia melapor puluhan billion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib dan Kerajaan itu tidak dijatuh, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun.
6. Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.

7. Maka pilihan yang perlu saya buat juga amat mudah – untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut.

8. Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.

9. Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan Negara tercapai.

10. Kejatuhan Najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita.