1. Tidak wajar kita banding Langkawi dengan Pulau Batu Puteh.
2. Langkawi adalah pulau yang diiktiraf sebagai pulau milik Malaysia sedangkan Pulau Batu Puteh ialah beting atau dengan izin sandbank yang dituntut oleh dua negara.
3. Langkawi tidak pernah dituntut oleh Siam dan pegawai Kerajaan negeri Kedah tidak pernah menyatakan kepada Siam bahawa Kedah tidak anggap Langkawi bukan milik Kedah.
4. Sebaliknya Kerajaan Johor melalui surat telah menyatakan bahawa Johor tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai milik Kerajaan Johor.
5. Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura. Dan berlakulah kontroversi.
6. Percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya. Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura.
7. Apa pilihan kita?
8. Kita boleh berperang untuk rampas Pulau Batu Puteh. Tetapi kos dan korbanan jiwa amat tinggi. Ia tidak dapat diterima oleh kita. Lagi pun belum tentu kita menang.
9. Kita terus berunding tetapi tidak menghasil apa-apa keputusan.
10. Kita, dan juga Singapura bersetuju untuk rujuk kepada International Court of Justice (ICJ).
11. Tetapi untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad.
12. Rujukan kepada ICJ hanya akan diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati.
13. Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.
14. Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah.
15. Sebab itu sebelum berjanji kajian sedalam-dalamnya perlu dibuat. Jika tidak yakin jangan buat janji.
16. Malaysia mempunyai dasar liberal dalam pemilikan tanah. Siapa sahaja boleh milik tanah. Bukan warganegara pun boleh milik tanah.
17. Ini mendedahkan negara pada kehilangan tanah yang sudah dimiliki oleh orang asing. Jika sebahagian yang besar tanah dimiliki oleh orang asing maka negara sudah tidak lagi secara fizikal, tanah milik warganegara.
18. Inilah yang berlaku di Singapura. Walaupun Singapura asalnya milik negeri Melayu, hari ini ia sudah jadi negara asing.
19. Hari ini walaupun negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi orang Melayu sendiri sudah kehilangan tanah mereka. Nasib baik yang memiliki tanah yang bernilai tinggi dan besar dimiliki oleh warga Malaysia.
20. Satu lagi cara untuk hilang negara ialah dengan menjual tanah yang digali dalam negara atau laut milik negara kepada negara lain. Secara langsung kita menjual sebahagian dari negara kepada negara lain. Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.
21. Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka.
22. Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing.
23. Kita jual Singapura. Lazimnya apabila penjajah tidak lagi berminat, tanah yang dijual dikembalikan kepada negara asal. Itulah yang terjadi kepada Hong Kong, Goa, Pondicherry. Tetapi tidak Singapura. Tanah dan air yang kita jual ke Singapura untuk membesar pulau itu menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa Kerajaan Singapura.
24. Itulah sebabnya Kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah kita dan mempertikai jualan air kepada negara asing. Malangnya beberapa pentadbiran Kerajaan Malaysia rela untuk dibayar 3 sen untuk 1000 gelen air mentah kepada negara asing kerana malas atau takut menuntut hak.