MEMPERTAHAN MALAYSIA ATAU AMERIKA?

1. Mula-mula Tengku Zafrul cabar saya untuk bukti bahawa syarikat Amerika ambil alih status Bumiputera akibat dari perjanjian timbal balik Anwar dengan Trump (ART – Agreement on Reciprocal Trade).

2. Maka saya kongsi dengan dia Klausa 6.2 (1) ART yang kandungannya jelas menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia tidak boleh beri bantuan bukan komersial atau subsidi kepada GLC, tidak boleh diskriminasi produk Amerika.

3. Dalam bahasa mudah, tidak ada keistimewaan kepada mana-mana GLC atau syarikat tempatan bila berurusan dengan Amerika. Ini maknanya dasar-dasar yang memberi kuota atau kepentingan kepada syarikat Bumiputera tidak boleh lagi dilaksanakan.

4. Setelah saya beri secara terperinci mengenai Klausa 6.2 (1) bagaimana
perjanjian itu akan ketepikan kepentingan Bumiputera, Zafrul keluar satu lagi video dan kata saya salah dan tidak baca habis.

5. Dia kemuka bahawa di bahagian akhir Klausa 6.2 (1) ada menyatakan
bahawa “Malaysia shall refrain from providing non-commercial assistance or otherwise subsidising its good-producing SOEs (kita baca sebagai GLCs) except for the achievement of their public service obligations. Malaysia shall ensure a level playing field for US companies in Malaysia’s market with respect to SOEs of third countries.

6. Zafrul menggunakan “except for the achievement of their public service obligations (kecuali untuk memenuhi kewajipan kepentingan awam mereka)” sebagai peruntukan yang akan membenar kita meneruskan dasar-dasar kepentingan Bumiputera.

7. Pertamanya, apabila Zafrul perlu merujuk kepada pengecualian ini, ia
bermakna bahawa kenyataan saya bahawa Klausa 6.2 (1) kepentingan
Bumiputera tidak dibenar oleh perjanjian ini jelas betul.

8. Keduanya, apakah yang dimaksud dengan public service obligations?
Adakah ini termasuk kepentingan Bumiputera dan kebenaran kepada
syarikat tempatan mendapat kelebihan ke atas syarikat-syarikat Amerika dan diskriminasi yang disebut terdahulu tidak terpakai?

9. Dan Zafrul tidak pula nyatakan siapakah yang akan tentukan apakah yang didefinisi sebagai public service obligations? Sudah tentu bukannya
Malaysia sahaja tetapi Amerika juga.

10. Jika kita lihat keseluruhan ART, ia jelas segala peruntukan dan tuntutan adalah untuk kepentingan Amerika. Zafrul turut mengakui bahawa kita terpaksa menandatangani ART.

11. Tiba-tiba Zafrul nak yakinkan kita bahawa kita tak akan tunduk kepada apa yang Amerika tetapkan dan dia juga mendakwa bahawa dia sudah tetapkan red lines (syarat yang tidak boleh dilanggar) dengan Amerika bila berkaitan dengan kepentingan Bumiputera.

12. Setahu saya di dalam membuat perjanjian ART tersebut yang ada melukis red lines ialah Trump seperti yang dinyatakan oleh Kagan, Duta Amerika ke Malaysia yang sehingga kini tidak dinafi atau dibangkang oleh Zafrul atau Anwar.

13. Saya rasa cukuplah Zafrul pertahankan kepentingan Amerika dan mulakan usaha untuk membatal perjanjian yang menggadai kedaulatan Negara.

14. Jangan terlampau bongkak sehingga tak mahu mengaku telah silap
bersetuju dengan perjanjian ART. Ini bukan saya seorang yang kata. Ramai yang lebih bijak dan pakar kata semacam.

Leave a Reply