1. Saya bersyukur kerana kesedaran yang ditunjuk oleh orang Melayu terhadap nasib mereka. Terdapat tanda-tanda yang Melayu UMNO sudah sedar akan perlunya UMNO di perbaharui. UMNO sudah nyatakan kesanggupan untuk menerima ahli baru walaupun ini akan mengancam kedudukan ahli lama. Tanpa ahli baru, terutama yang lebih muda UMNO akan susut jumlah keahlian kerana yang tua tetap menjadi lemah dan akhirnya kembali ke Rahmatullah.
2. Tetapi bukan sahaja yang muda yang diperlukan, yang berbakat, berkebolehan juga diperlukan walaupun tidak lagi muda.
3. Namun tapisan perlu juga dibuat supaya yang masuk bukan yang anggap UMNO sebagai batu loncatan seperti yang terdahulu, atau yang nampak peluang bagi diri sendiri. Yang masuk mestilah mereka yang ikhlas dan faham akan perjuangan UMNO, dan ingin menerus dan menjayakannya.
4. Apa dianya perjuangan UMNO? Setelah 400 tahun dijajah hanya apabila berhadapan dengan cadangan penjajah untuk negeri-negeri Melayu semuanya dicantum menjadi tanah jajahan British secara langsung melalui projek Malayan Union, maka baharulah timbul kesedaran di kalangan rakyat Raja-Raja Melayu bahawa tanpa sokongan mereka maka Raja-Raja akan dipaksa menyerah negeri-negeri kerdil mereka kepada British. Jika enggan ada ramai ahli keluarga diRaja yang sanggup menandatangani perjanjian dan dilantik jadi Raja yang diiktiraf British.
5. Ini sudah pun berlaku dengan penyerahan Singapura kepada British. Dan sesungguhnya inilah cara ugutan Mac Michael kepada Raja-Raja Melayu.