1. Di mana Negara pun akan ada orang yang berkuasa. Mereka berada di berbagai peringkat. Di Negara yang demokratik pun terdapat orang yang berkuasa. Budaya orang Malaysia pula demikian sehingga orang yang berkuasa lebih berkuasa kerana tidak akan ada sesiapa yang akan menegur. Orang yang berkuasa boleh buat apa sahaja termasuk yang tidak dibenar. Hanya jika diadakan pemilihan oleh rakyat atau pengikut barulah ketidakpuasan hati mereka dilahirkan. Walaupun demikian faktor lain sering menenggelamkan faktor salahguna kuasa.
2. Saya mengaku bahawa inilah pengalaman saya semasa menjadi pemimpin yang berkuasa. Jarang terdengar teguran melainkan oleh musuh terutama parti lawan. Dan teguran oleh musuh jarang dapat diterima kerana ini memang sifat mereka. Saya dapati teguran pihak ketiga, pihak yang tidak punyai kepentingan biasanya lebih ikhlas dan perlu ditimbang secara serius.
3. Kebiasaannya ramai yang bersedia untuk menyokong dan memuji apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang berkuasa. Sokongan mereka mungkin kerana mereka betul-betul dan ikhlas berpendapat apa yang dilakukan memang baik atau buruk. Tetapi ada juga yang menyokong dan mengiakan apa sahaja kerana ini akan disukai oleh yang berkuasa. Dan ini juga akan meningkat pengaruh mereka dan banyaklah nikmat yang akan dikecapi oleh mereka.