PENAMATAN PERKHIDMATAN TAN SRI APANDI ALI

1. Tan Sri Apandi Ali telah fail tuntutan di Mahkamah terhadap saya setelah saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri. Dia tuduh yang saya berniat jahat dan tidak turut undang-undang dalam menamatkan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara.

2. Saya telah beri kenyataan saya kepada pihak Peguam Negara. Saya pertahan tindakan saya dan percaya bahawa saya telah ikut prosidur yang ditetapkan dengan menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Peguam Negara.

3. Pada masa itu saya berasa Tan Sri Apandi tidak dapat bertindak bebas kerana beliau merupakan peguam UMNO sejak sekian lama.

4. Dia tidak mungkin dapat berlaku adil dalam siasatan terhadap 1MDB dan salahlaku Dato Seri Najib. Malahan dia telah kata bahawa Najib tidak bersalah kerana kononnya tiada kes, sebelum apa-apa tindakan siasatan dibuat.

5. Sikap berat sebelah Apandi ini terbukti apabila Najib didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

6. Semasa saya beri keterangan kepada pihak Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) bagi persediaan kes saman Apandi terhadap saya, saya telah dimaklum bahawa proses penamatan perkhidmatan itu betul dan mengikut prosidur dan Rule of Law.

7. Mereka maklumkan bahawa saya dan kerajaan telah memberi nasihat betul pada Yang di-Pertuan Agong supaya Tan Sri Apandi Ali ditamatkan perkhidmatan.

8. Saya terkejut apabila baca berita baru-baru ini tentang satu penyelesaian diluar mahkamah dibuat diantara Kerajaan dan Apandi. Terma penyelesaian juga dirahsiakan.

9. Saya tidak pun dimaklum tentang terma penyelesaian walaupun saya merupakan saksi utama.

10. Saya menulis pada Peguam Negara. Saya tidak bersetuju dengan cara penyelesaian tersebut dibuat. Saya berasa kerajaan tidak sepatutnya tunduk memandang bahawa tindakan penamatan perkhidmatan Apandi mengikut semua urusan dan kuasa yang ada pada Kerajaan.

11. Saya tidak faham kenapa terma penyelesaian harus dirahsia dari saya serta rakyat. Rakyat berhak tahu. Lebih-lebih lagi jika ianya melibatkan pampasan.

12. Apakah pampasan perlu dibayar jika tindakan dibuat mengikut undang-undang? Di mana prinsip Rule of Law.

13. Saya berpendapat penyelesaian memberi pampasan besar itu untuk seorang yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan baik adalah amat dikesali diwaktu mana sekalipun. Saya tidak mengaku salah dan bersedia untuk tuntutan Apandi di adili di mahkamah.