RASUAH AKAN JEJAS PERIUK NASI

1. Pengundi bosan mendengar berkenaan rasuah. Mereka ingin mendengar berkenaan isu-isu periuk nasi atau dalam bahasa Inggeris “bread and butter issues”.

2. Tetapi sebenarnya rasuah yang berleluasa dalam Negara telah dan akan menjejas periuk nasi mereka.

3. Contohnya, isu 1MDB, hutang sebanyak lebih RM32 billion, memerlukan bayaran faedah sahaja sebanyak RM1.7 billion setahun. Hutang pokok tidak dapat dibayar.

4. Belum pun masalah hutang 1MDB diselesai, terdedah pula skandal Littoral Combat Ship (LCS). RM6 billion telah dibayar tetapi tidak satu kapal yang siap.

5. Sekarang ini, terdengar ada pihak di dalam Kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang ingin mengaut keuntungan untuk diri di dalam projek pembelian Self-Propelled Howitzer (SPH), yang membabitkan RM854 juta.

6. Skandal ini terdedah apabila surat arahan Ismail Sabri kepada Tengku Zafrul disebarkan yang mengarah Tengku Zafrul untuk berikan kontrak secara rundingan terus kepada satu syarikat yang baru ditubuh tidak sampai dua tahun.

7. Tender terhad yang awal, dibatal supaya syarikat yang terpilih ini diberi tawaran tender rundingan terus.

8. Berbillion Ringgit duit Kerajaan yang boleh diguna untuk bantu rakyat, memberi biasiswa, mendiri infrastruktur hilang kerana rasuah.

9. Jika Kerajaan UMNO dibenar terus memerintah lagi rasuah akan terus berleluasa dan rakyat akan menanggung beban hutang.

10. Dan UMNO menyertai pilihan raya untuk membebas penyamun dan mengelak penyamun lain dari dikena tindakan undang-undang.

11. Mungkin sekarang ini belum terasa akibat hutang Negara yang tinggi melainkan dari segi kos sara hidup yang meningkat, kos untuk berniaga dan kos membeli bahan binaan dan sebagainya.

12. Pengundi perlu sedar apabila kos ini meningkat, peniaga dan pemilik perusahaan akan menaikkan harga barangan dan lambat laun, jika hutang Negara terus meningkat akibat dari perbuatan rasuah, kadar inflasi akan dan sudah pun meningkat.

13. Nilai wang di tangan rakyat akan menyusut nilai dan kuasa membeli menyusut dan terus menyusut.

14. Ketika itu, gurauan bahawa satu guni duit tidak cukup untuk beli segantang beras bukan lagi satu jenaka tetapi satu kenyataan.

15. Tak cukup dengan kos sara hidup meningkat, halal haram juga tidak dipeduli oleh perasuah-perasuah ini seperti kes kartel daging baru-baru ini.

16. Kerana itu saya terus berjuang menentang rasuah dan penyamun-penyamun untuk menyekat mereka kembali memerintah.

17. Selagi ada hayat dan upaya saya takkan biarkan penyamun dan perasuah hancurkan Negara tanpa ditentang.