TIGA R

1. Ramai juga yang menyoal kenapa saya marah sangat terhadap larangan bercakap berkenaan 3R – iaitu Race (Bangsa), Religion (Agama) dan Royalty (Raja).

2. Bukankah Kerajaan berhak melarang sesuatu.

3. Tidak. Kerajaan tidak boleh larang apa-apa melainkan ia ada kaitan dengan keselamatan negara.

4. Larang 3R terlalu umum. Tidak dijelas kenapa dan bagaimana bercakap berkenaan 3R boleh mencetus bahaya terhadap negara.

5. Apakah kalau saya kata “Saya orang Melayu” maka ia mengancam keselamatan negara.

6. Jika saya kata “Orang Melayu menghadapi masalah” maka saya dianggap sebagai pemberontak yang polis perlu soal saya.

7. Saya kata saya beragama Islam, maka ini juga melanggar arahan Perdana Menteri.

8. Kalau saya salah maka Perlembagaan juga salah kerana Perlembagaan menyebut “Islam” sebagai agama rasmi Malaysia.

9. Salahkah kalau saya kata kita punyai “Raja Berperlembagaan”?

10. Larangan yang dibuat terlalu umum sehingga rakyat takut disalahkan apabila menyebut bangsa, agama dan raja. Polis ikut penceramah seolah-olah hendak cekup mereka.

11. Ini tidak sihat. Rakyat berhak bercakap berkenaan masalah mereka. Apa gunanya pilihan raya jika masalah rakyat tidak boleh disuarakan oleh rakyat dan oleh calon yang berjuang untuk rakyat.

12. Apa hak Perdana Menteri membuat larangan. Negara ditadbir mengikut undang-undang. Tiap suatu yang hendak diperbuat oleh Kerajaan ada caranya.

13. Kita punyai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

14. Ada cara tertentu untuk melulus undang-undang. Perdana Menteri bukan bebas untuk membuat undang-undang. Polis dan MACC juga tidak bebas bertindak sesuka hati. Semua gerakan Kerajaan mempunyai cara dan undang-undang yang perlu diikuti.

15. Cara manakah yang dibuat oleh Perdana Menteri dengan tiba-tiba merampas hak rakyat dan hak parti-parti politik bercakap.

16. Cuma pemerintahan kuku besi sahaja yang memberi kuasa tanpa had kepada pemerintah.

17. Sudahkah kita sampai ke peringkat itu?

18. Itu soalannya. Lebih-lebih lagi pelakunya ialah seorang Reformis yang kononnya menolak cara pemerintahan kuku besi?