ERTI PERJUANGAN


1. UMNO ditubuh sebagai jentera untuk melawan cadangan Malayan Union British. Cadangan British itu akan menghapuskan Tanah Melayu sebagai tanah yang dimiliki oleh orang Melayu. British akan terima siapa sahaja sebagai warganegara seperti keadaan di Singapura dan Pulau Pinang. Dengan itu Malayan Union tidak lagi menjadi Negara orang Melayu.

2. Kerana ingin kekal pemilikan Tanah Melayu, orang Melayu bersatu dalam UMNO. Dan parti itu melawan British sehingga Malayan Union tergugur. Tidak terlintas di hati ahli dan pemimpin UMNO waktu itu untuk “cari makan” dengan menyertai UMNO. Mereka berjuang untuk bangsa, Negara dan agama. Untuk tujuan ini mereka sanggup korban apa sahaja.

3. Apabila Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu mereka tuntut kemerdekaan. Pada bulan Ogos 1957 merdekalah Malaya.

4. Tetapi sekarang perjuangan parti yang bernama UMNO sudah bertukar. Sekarang perjuangan ahli dan pemimpin ialah untuk mendapat ganjaran. Biarlah tanah pusaka ini tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu asalkan ahli UMNO dapat RM30,800 sebulan sebagai ahli dewan.

5. Yang penting hanyalah duit.

6. Jika perlu sokong dasar yang bertentangan perjuangan UMNO, jika perlu sokong musuh, sokonglah.

7. Inilah UMNO sekarang.

8. Nama sahaja UMNO.

9. Tetapi perjuangan bukan untuk bangsa, Negara dan agama.

10. Kalau perlu khianati bangsa tidak mengapa asalkan dapat duit.

11. Yang tidak sanggup mengkhianati UMNO sudah tinggal UMNO. 43 sudah tinggal UMNO.

12. Kalau dahulu UMNO menang 80-90 kerusi sekarang UMNO (PRU15) menang hanya 26 kerusi.

13. Apa perjuangan 26 wakil rakyat ini?

14. Tanyalah diri sendiri.

Leave a Reply