Saya telah dijemput oleh badan bukan Kerajaan (NGO) Melayu yang saya tidak kenal dan tidak pernah dengar untuk berceramah di Kuala Terengganu. Umumnya tajuk ceramah ialah berkenaan masa depan orang Melayu.
Dahulu tidak ada keperluan untuk menubuhkan NGO untuk bincang tajuk seperti ini. Parti UMNO akan mengadakannya. Daripada forum anjuran UMNO-lah datang cadangan untuk mengadakan MARA, Bank Bumiputra, Tabung Haji dan lain-lain. Tetapi sekarang orang Melayu tidak lagi lihat UMNO sebagai pembela dan pejuang nasib orang Melayu. Demikian forum para intelek Melayu yang diadakan di Johor membuat keputusan menghantar memorandum mereka bukan kepada UMNO, bukan kepada Kerajaan pimpinan UMNO tetapi kepada Raja Melayu.
Saya menyahut jemputan ini bukan sahaja kerana tajuknya menarik bagi saya tetapi juga kerana sudah 10 tahun saya tidak ke Kuala Terengganu.