1. Kerajaan tidak meluluskan Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan rakyat dari semua lapisan untuk mendiri Kerajaan yang bersih, cekap dan amanah.
2. Oleh itu GTA terpaksa mengguna Parti Pejuang Tanah Air sebagai gantinya dalam PRU 15.
3. GTA terdiri dari orang Melayu yang rata-rata miskin dan bermasalah. Hanya orang Melayu sahaja yang faham apa yang dihadapi oleh orang Melayu.
4. Dahulu orang Melayu dilindungi, oleh Kerajaan-Kerajaan yang didominasi oleh orang Melayu, iaitu UMNO. Tetapi UMNO di bawah Najib sudah ubah perjuangan UMNO dari melindungi dan memajukan orang Melayu kepada memperkayakan diri pemimpin UMNO.
5. Sebab itu Gerakan Tanah Air ditubuh untuk melindungi dan memaju orang Melayu. Gerakan akan kembali kepada perjuangan asal UMNO.
6. Kerajaan GTA mampu memulihkan negara dan memajukan orang Melayu seperti UMNO dahulu melakukan.
7. Tumpuan kita bukan untuk dapat tempat untuk diri kita tetapi untuk memulih politik, ekonomi dan kewangan negara. Kita akan atasi kemiskinan yang melemahkan ekonomi Melayu sehingga menjual tanah air mereka.
8. GTA menggunakan Parti Pejuang dalam PRU 15 ini kerana Kerajaan tidak melulus pendaftaran GTA. Tetapi Pejuang seperti juga GTA adalah Gerakan Rakyat Melayu yang prihatin akan masalah orang Melayu yang tidak dipedulikan oleh UMNO.
9. Oleh itu undilah Pejuang yang mewakili GTA untuk memelihara masa depan orang Melayu dan menentukan mereka dapat bahagian mereka dalam negara berbilang kaum ini.

KEPIMPINAN UMNO
1. Kepimpinan UMNO tidak senang mendengar serangan terhadap parti itu. Konon serangan disebabkan percubaan menutup kegagalan penyerang.
2. Sebenarnya serangan terhadap UMNO disebabkan khuatir parti kleptokrat ini memenangi PRU 15 dan mendiri Kerajaan kleptokrasi.
3. Jika keburukan UMNO tidak didedah besar kemungkinan pengundi tidak fikir panjang dan undi UMNO seperti biasa. Apatah lagi kepimpinan UMNO amat berjaya menutup perbuatan salah mereka dengan mendakwa ahli dan penyokong tidak perlu malu apabila melaku kesalahan.
4. Dengan sifat ini kesalahan Presiden UMNO yang sudah dipenjara dan dikena denda 210 million Ringgit bukanlah sesuatu yang tidak baik dan perlu dirasai malu oleh ahli dan penyokong UMNO. Oleh itu jangan malu apabila menyokong UMNO.
5. Apatah lagi sokongan akan dibalas dengan sogokan wang. Pedulikan apa akan terjadi kepada negara apabila puak kleptokrat Cash is King memerintah sekali lagi.
6. Sebab itu menjadi tanggungjawab rakyat yang cinta pada bangsa dan negara untuk memperingati pengundi akan keburukan pemerintahan UMNO dibawah pimpinan Najib dan sekutunya.
7. Malaysia sudah jadi negara separuh maju sehingga dikenali sebagai Harimau Asia. Apabila Najib menjadi Perdana Menteri beliau menolak khidmat untuk bangsa dan negara.
8. Sebaliknya ia berpendapat melalui sogokan wang yang banyak kepada rakyat, UMNO akan dipilih dalam tiap-tiap PRU.
9. Untuk jayakan kepercayaan “Cash is King” atau “Wang Tunai itu Raja” Najib mencurahkan berbillion Ringgit kepada UMNO dan rakyat secara percuma.
10. Dari mana datang dana yang besar ini. Mudah sahaja. Najib dirikan 1MDB syarikat milik Kerajaan bermodal 1 juta Ringgit dan syarikat meminjam lebih dari 40 billion Ringgit dengan faedah yang tinggi.
11. Sebahagian dari wang ini dimasukkan dalam akaun peribadi Najib dan wang inilah yang diagih kepada pemimpin dan bahagian UMNO. Dan mereka pun tutup mata terhadap kesalahan Najib memasukkan wang yang dipinjam oleh 1MDB ke dalam akaun peribadinya.
12. Sebaliknya mereka teruskan sokongan mereka kepada Najib. Pengundi dalam PRU juga disogok oleh Najib supaya UMNO menang.
13. Najib mungkin percaya bahawa melalui sogokan ini ia akan kekal sebagai Perdana Menteri (PM). Dan sebagai PM ia boleh halang tindakan undang-undang terhadap pencurian wang 1MDB milik Kerajaan, olehnya.
14. Tetapi dalam PRU 14, Najib kalah dan tidak lagi dapat sembunyi jenayah yang dilakukan. Dan kekalahan BN juga membongkar bermacam-macam jenayah dan salah guna kuasa yang dilakukan semasa pemerintahan UMNO dan Najib. Selain dari itu prestasi pencapaian Malaysia merosot sehingga dikenali oleh dunia sebagai kleptokrasi, iaitu negara pencuri yang dipimpin oleh pencuri. Dan Malaysia tidak lagi menjadi Harimau Asia.
15. Di masa yang sama politik Malaysia menjadi tidak stabil dengan Kerajaan-Kerajaan yang lemah yang tidak cekap. Prestasi Malaysia merosot teruk, dan kewangan Malaysia tertekan kerana bayaran hutang yang bertimbun.
16. Adalah jelas jika Kerajaan UMNO tidak ditamatkan Malaysia akan alami keadaan yang lebih teruk. Pemulihannya tidak dapat dilakukan.
17. Semua kesalahan dan kegagalan UMNO perlu didedah supaya rakyat yang cinta negara dan bangsa akan tolak UMNO dalam PRU 15.
KETEPIKAN EGO
1. Telah beberapa kali saya terbaca bahawa saya ini akan terhegeh-hegeh bertemu musuh apabila membuat percaturan politik.
2. Contoh yang kerap diguna ialah bagaimana saya sanggup pergi berjumpa Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sampai ke mahkamah sebelum pilihan raya 2018 untuk mendapat sokongan darinya.
3. Ini benar. Bagi saya perasaan peribadi, bersikap sombong, ego, kepentingan diri tidak ada tempat dengan sesuatu perjuangan terutamanya apabila terkait agama, bangsa dan tanahair.
4. Semasa saya pergi bertemu dengan Datuk Seri Anwar di mahkamah, perkara utama yang ada di dalam fikiran saya ialah bagaimana cara untuk menyekat Datuk Seri Najib dan Kerajaan UMNO/BN pimpinannya dari terus berkuasa.
5. Ketika itu, seluruh dunia melapor puluhan billion wang rakyat dirompak oleh Najib dan jika Najib dan Kerajaan itu tidak dijatuh, pengkhianatan mereka akan tersembunyi selain mereka dapat terus menyamun.
6. Sifir politik ketika itu juga amat jelas, jika pihak pembangkang tidak bersatu dan bertanding di atas pentas yang sama, Najib dan konco-konconya akan terus berkuasa.
7. Maka pilihan yang perlu saya buat juga amat mudah – untuk mengalahkan kejahatan yang sangat merosakkan negara, saya perlu bekerjasama dengan bekas musuh-musuh saya yang juga bersetuju perlu menyekat kejahatan tersebut.
8. Kerana itu saya bersedia bertemu dengan Datuk Seri Anwar kerana saya percaya dia juga berfikir semacam dengan saya. Jika saya yang perlu memulakan langkah, saya akan lakukan.
9. Orang nak kata saya tak tahu malu atau jilat ludah semula tidak memberi kesan kepada saya. Yang penting matlamat kita untuk menyekat kemaraan orang yang merosakkan Negara tercapai.
10. Kejatuhan Najib menunjuk kita telah lakukan sesuatu yang menjayakan kita.
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA
- Terdapat banyak kelemahan dalam pilihan raya.
- Tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya tidak hendak dengar teguran berkenaan kelemahan ini.
- Jika tidak dibetulkan rasuah dan penipuan akan dilakukan dalam pilihan raya.
- Umpamanya telefon bimbit boleh menidakkan rahsia pengundi. Parti boleh guna maklumat untuk sogokan.
- Pengundi boleh tunjuk melalui telefon bahawa dia sudah undi parti tertentu dan parti pun hulur wang.
- Tidak bolehkah Suruhanjaya Pilihan Raya tegah membawa telefon bimbit semasa mengundi?
- Dan banyaklah lagi kelemahan pilihan raya yang perlu diperbaiki oleh Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum PRU-15.
BANDUAN ISTIMEWA
1. Dunia ketawa banduan hadir dewan rakyat untuk menasihat Kerajaan bagaimana mentadbir negara.
2. Tidak hairanlah huru-hara berlaku dalam negara.
3. Jika Mahiaddin dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Ismail Sabri, kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain. Tidak perlu bubar Parlimen.
4. Hentikan layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar.
5. Tetapi banduan yang curi RM10 digari dan dipenjara serta merta.
PILIHAN MELAYU
1. Orang Melayu ingin diperintah oleh Kerajaan yang didominasi Melayu. Dalam PRU 15, orang Melayu boleh pilih antara Melayu penjenayah dalam UMNO dan orang Melayu yang bebas dari kes-kes jenayah dari parti Pejuang serta rakan-rakan yang semuanya Melayu.
2. Pejuang mewakili empat parti politik Melayu iaitu Pejuang, Putra, Iman dan Berjasa serta ramai orang Melayu yang tidak dibenar aktif dalam politik.
3. Masalah orang Melayu terutama kemiskinan dan kehilangan tanah menjadi tumpuan utama dalam agenda Pejuang.
4. Keluhuran undang-undang akan dihormati. Kuasa tidak akan disalah guna. Rasuah akan diperangi, kos sara hidup akan diturun. Negara akan dipulih sehingga kembali menjadi Harimau Asia.
PERJUANGAN
1. Mengikut kenyataan Presiden UMNO perjuangan BN/UMNO hanya untuk selamatkan pemimpin mereka dari di penjara atau di caj kerana mereka sudah melaku jenayah.
2. Tumpuan Kerajaan UMNO apabila menang ialah mendapat pengampunan bagi Najib dan menggugur kesnya yang sedang dibicara. Dengan itu ketua kleptokrat boleh pun menjawat jawatan PM.
3. Kes terhadap Zahid akan digugur. Demikian juga kes-kes terhadap pemimpin BN/UMNO yang lain. Inilah harapan UMNO jika menang.
4. Pemulihan ekonomi negara, penghapusan rasuah, pengstabilan politik, pertambahan peluang kerja, bantuan kepada rakyat miskin, mengatasi masalah orang Melayu dan kaum lain dan banyak lagi tidak disebut oleh Zahid, atau tidak diutamakan.
5. Sebaliknya Pejuang serta rakan-rakannya tidak terlibat dengan jenayah. berjuang untuk bangsa, negara dan agama. Usaha akan dibuat bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh rakyat.
6. Pejuang tidak bertanding kerana menyelamat diri atau untuk dapat duit.
BELANJAWAN PRU
1. Belanjawan 2023 jelas untuk pilihan raya. Parti-parti lawan tidak pun diberi hak untuk membahas peruntukan-peruntukan yang diberi kepada semua lapisan rakyat.
2. Gerakan Tanah Air (GTA) yang belum didaftar tidak ada pilihan selain dari menyokong kerana jika tidak menyokong tentulah rakyat akan kecewa dan tolak GTA.
3. Namun demikian GTA menyoal kemampuan UMNO melaksana segala janji yang dibuat. Ini adalah kerana Kerajaan ini kekurangan dana, korap dan kurang kecekapan untuk melaksana projek-projek.
4. Di masa Najib Kerajaan UMNO gagal dalam pengurusan kewangan. UMNO lah yang meminjam 42 billion Ringgit dengan mengguna 1MDB. Sebenarnya hutang Kerajaan dahulu tidak pernah lebih dari satu trillion.
5. Sekarang, membayar faedah sahaja pun memerlu berbillion Ringgit tiap tahun. Hutang pokok tidak dibayar. Kerap kali peruntukan untuk pembangunan diguna untuk bayar faedah pinjaman. Dengan ini pembangunan kekurangan dana dan tidak dapat dilaksana. Lebih-lebih lagi kos meningkat kerana rasuah.
6. Banyak cara-cara untuk mengurangkan kos tidak diamal. Di masa yang sama nilai Ringgit jatuh. Ini bermakna bayaran hutang dalam Ringgit meningkat dan juga kos import.
7. Belanjawan ternampak baik tetapi jika pelaksanaan tidak cekap peruntukan tidak dapat membawa hasil yang dijanji.
8. Sebab itu, walaupun GTA menerima belanjawan ini tetapi banyaklah perubahan dan tambahan perlu dilakukan.
9. InsyaAllah, GTA dapat melaksana budget terutama bantuan-bantuan untuk rakyat jika UMNO tidak jadi Kerajaan dan diganti oleh Kerajaan GTA (Pejuang) jika GTA diberi kemenangan dan mendiri Kerajaan.
PRU AWAL
1. Wahai PM.
2. Tak usahlah salahkan PN 12.
3. Walaupun PM berhak membuat keputusan sendiri tetapi dalam Kerajaan campuran pengetahuan dan persetujuan parti komponen berhak memberi pandangan mereka.
4. Memang pun UMNO yang hendak PRU awal. Pedulikan banjir. Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera.
PENGAKUAN ZAHID
1. Zahid Hamidi, Presiden UMNO mengaku pemimpin-pemimpin UMNO bersalah dan pertandingan UMNO dalam PRU adalah untuk menyelamatkan mereka dari dibicara dalam mahkamah dan dihukum.
2. Masalah rakyat dan negara bukanlah tujuan UMNO mencari kemenangan dalam PRU 15.