Artikel in telah disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia , Oktober 20, 2013
1. Dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi (high income country) tentulah diterima baik oleh rakyat. Tetapi kita harus ambil kira kesan pendapatan tinggi, terutama dalam bentuk upah dan gaji kepada kos sara hidup Negara.
2. Apabila upah atau gaji dinaikkan tidak dapat tidak kos barangan dan khidmat akan turut naik. Kenaikan ini akan mengurangkan dayabeli (purchasing power) berbanding dengan pendapatan yang dinaikkan.
3. Kita tahu benar negara-negara yang pendapatan amat tinggi dari segi upah yang diterima tetapi taraf hidup mereka jauh lebih rendah dari kita. Pendapatan tinggi semata-mata tidak bermakna kekayaan dengan taraf hidup yang tinggi.
4. Yang akan menjadi kehidupan kita setaraf dengan negara maju ialah daya beli pendapatan kita yang sama tinggi dengan dayabeli penduduk negara maju. Kenaikan pendapatan tanpa kenaikan dayabeli tidak bermakna sama sekali. Sebaliknya ia akan menghalang pembangunan Negara kearah sasaran menjadi Negara maju.
5. Negara-negara yang ditakrif sebagai negara maju tidak sahaja memiliki pendapatan per kapita yang tinggi tetapi mereka memiliki daya pengeluaran (produktiviti), yang tinggi dengan kemajuan mereka dalam bidang ilmu pengetahuan, kecanggihan dan kebesaran industri serta perniagaan dan perusahaan. Negara mereka dilengkapi dengan infrastruktur yang canggih dan mencukupi untuk keselesaan hidup rakyat serta membantu aktiviti perniagaan dan perusahaan. Infrastruktur ini termasuklah jalan-jalan yang menghubungi semua bandar dan kampung, bekalan api dan air, khidmat pelajaran dan kesihatan dan lain-lain. Banyak terdapat Negara yang berpendapatan amat tinggi tetapi tidak dianggap maju.
6. Kita perlu pisah kemajuan sesebuah negara daripada pendapatannya yang tinggi. Walaupun negara maju biasanya disertai dengan pendapatan yang tinggi bagi semua rakyat, tetapi pendapatan yang tinggi dengan sendirinya tidak bermakna Negara sudah maju.
7. Hasrat Kerajaan tentulah untuk menjadi bukan sahaja negara berpendapatan tinggi tetapi menjadi negara maju dengan kuasa dayabeli rakyat yang tinggi. Untuk ini tumpuan perlu diberi kepada usaha daya keluar (produktiviti) yang meningkat yang akan menyumbang kepada dayasaing (competitiveness) negara. Kenaikan dayasaing Negara-negara Timur inilah sehingga mengalahkan Negara Barat yang menjadikan beberapa Negara Timur maju.
8. Menaikkan pendapatan adalah mudah. Umpamanya apabila gaji atau upah minimum dinaikkan maka matlamat pendapatan tinggi tercapai. Tetapi seperti yang disebut di atas, kenaikan ini tidak menjadikan rakyat lebih kaya, disebabkan dayabeli tidak naik bersama pendapatan.
9. Umpamanya kenaikan upah minima katakanlah dari RM 700/- sebulan kepada RM 900/- sebulan akan membawa dua kesan. Mereka yang sedang menerima RM 900/- sebulan akan kecewa jika upah mereka tidak dinaikkan supaya yang berada di bawah mereka tidak mendapat gaji yang sama dengan mereka. Apabila gaji kumpulan ini dinaikkan maka yang dahulu mendapat upah yang lebih tinggi akan meminta kenaikan supaya jarak yang lama dikekalkan. Akhirnya kenaikan gaji minima kepada RM 900/- akan disusuli dengan kenaikan gaji atau upah di semua peringkat. Kenaikan yang menyeluruh ini tidak dapat tidak akan menaikkan kos pengeluaran semua barangan dan khidmat. Dengan perkataan lain kenaikan gaji dan upah, tanpa kenaikan produktiviti akan menaikkan kos sara hidup.
10. Yang kedua kenaikan gaji dan upah tetap akan menjadikan barangan dan khidmat yang kita beri kurang kompetitif di pasaran dunia. Pelabur tempatan dan asing juga tidak akan melabur dan yang menganggur tidak dapat bekerja untuk sara hidup mereka.
Continue reading NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI →