1. Sejarah Islam dipenuhi dengan permusuhan antara Sunni dengan Syiah. Kerapkali peperangan berlaku di antara mereka. Hari ini kita baca dalam akhbar dan TV berkenaan dengan letupan bom yang membunuh dan mencedera beratus-ratus daripada pengikut kedua-dua mazhab ini semasa mereka sedang sembahyang Jumaat di masjid dan di lain-lain tempat di mana mereka berkumpul.
2. Melihat akan permusuhan dan bunuh-membunuh diantara Sunni dan Syiah, musuh-musuh Islam, Yahudi dan sekutu mereka amat gembira. Bagi mereka, samada Sunni atau Syiah, semuanya adalah orang Islam dan seteru mereka. Kerja mereka untuk melemah dan musnahkan Islam dan orang Islam sedang dibuat oleh orang Islam sendiri.
3. Permusuhan antara Sunni dan Syiah ini tidak berlaku di Malaysia kerana buat sekian lama semua orang Islam di Negara ini terdiri daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu Sunni pengikut Imam Shafei. Mereka semua berpegang kepada ajaran Islam yang sama. Walaupun perbezaan politik memisahkan diantara orang Islam di Malaysia, tetapi ia tidak sampai kepada membunuh dan berperang.