1. Saya telah membaca penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan Apandi Ali untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim Kit Siang dengan kos sebanyak RM30,000.
2. Ini bermakna bahawa tidak ada ruang lagi untuk Apandi meneruskan saman fitnahnya terhadap Kit Siang.
3. Apandi memula samannya sebanyak RM10 juta terhadap Kit Siang kerana dia mendakwa pemimpin DAP itu memfitnahnya kerana menggambarkan “bahawa dia seorang yang tidak bermoral, tidak beretika dan tidak berintegriti yang telah mengamalkan dwi standard semasa memegang jawatan peguam negara.”
4. Bermula di Mahkamah Tinggi, diikuti oleh Mahkamah Rayuan dan sekarang Mahkamah Persekutuan, kesemua tujuh hakim bersetuju bahawa kegagalan utama Apandi ialah dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Peguam Negara.
5. Malahan, di Mahkamah Rayuan hakim telah menyatakan apabila Apandi memutuskan secara tiba-tiba untuk hentikan siasatan (skandal 1MDB), ianya mengukuhkan pandangan awam bahawa Apandi menyembunyikan skandal tersebut.
6. Di Mahkamah Rayuan juga hakim telah menyatakan bahawa Apandi yang “diamanahkan dengan kuasa untuk mengarahkan penyiasatan bagi menyelesaikan kes dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab tanpa rasa takut atau pilih kasih” telah bertindak sebaliknya dan cuba menghalang siasatan skandal 1MDB.
7. Menurut hakim tindakan Apandi tidak munasabah dan tidak dijangkakan oleh orang ramai.
8. Tambah hakim tersebut lagi, Apandi gagal menunjuk sedikit pun bukti untuk menyokong dakwaannya yang dia tidak “membantu dan bersubahat” dengan Datuk Najib dalam skandal itu.
9. Banyak lagi yang diperkata oleh hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan Rayuan berkait dengan tingkah-laku Apandi semasa menjadi Peguam Negara dan pembabitannya membantu menutup skandal 1MDB dan pandangan mereka diperakui dan disokong oleh Mahkamah Persekutuan beberapa hari lalu.
10. Penghakiman-penghakiman boleh didapati kerana telah menjadi dokumen awam.
11. Ini bermakna keputusan Kerajaan pada tahun 2018, yang ketika itu saya adalah Perdana Menteri, untuk menamatkan khidmat Apandi sebagai Peguam Negara adalah tepat.
12. Apandi kemudiannya telah menyaman Kerajaan dan menamakan saya sebagai defendan kerana kononnya saya telah menamatkan perkhidmatannya secara tidak sah selain mendakwa saya memandang serong terhadapnya.
13. Kerana itu saya tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan pada tahun 2022 yang bersetuju selesai saman pemecatan Apandi dan saya diberitahu membabitkan ganti rugi yang agak lumayan.
14. Berdasarkan penghakiman mahkamah-mahkamah tersebut, saya merasakan bahawa penamatan khidmat Apandi adalah keputusan yang tepat. Malahan, sepatutnya, Kerajaan selepas pimpinan saya melapor polis mengenai jenayah yang dilakukan oleh Apandi berkait skandal 1MDB.
15. Adalah tidak adil jika cuma Datuk Najib sahaja dihukum sedangkan Apandi yang hakim-hakim telah sebut secara terbuka “membantu dan bersubahat” dibebas dan diberi pampasan oleh Kerajaan.