1. Saya hairan dengan tindak-tanduk Datuk Seri Anwar sejak akhir-akhir ini.
2. Konon ramai pemimpin dahulu kaya kerana rasuah dan dia punyai berpuluh kotak berkenaan tuduhan ini. Kalau sudah ada dedahlah dan cajlah di mahkamah.
3. Tetapi tidak. Konon nak suruh pemimpin lama isytihar kekayaan mereka dan bantu rakyat miskin. Anwar adalah satu dari pemimpin lama yang dituduh bantu kroni.
4. Dedahlah kekayaan di masa jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dituntut sekarang. Dan bantulah rakyat dengan duit sendiri, bukan duit Kerajaan.
5. Di masa yang sama Anwar kononnya mempunyai maklumat tentang berbilion yang disapu oleh saya dan keluarga saya.
6. Tak payahlah menyuruh saya buat deklarasi kekayaan saya kerana kononnya Anwar tahu. Dia punyai banyak kotak dokumen yang kononnya penuh maklumat berkenaan kekayaan saya.
7. Di mahkamah tunjuk bukti yang ada pada Anwar akan kekayaan saya.
8. Dengan itu pengisytiharan tentang kekayaan saya akan diketahui dunia.
9. Tak perlu saya isytihar lagi.
10. Tetapi Anwar juga perlu isytihar.
All posts by Che Det
MENGURANG RASUAH SEMASA PILIHAN RAYA
1. Jika Kerajaan benar-benar ingin menghapus rasuah, cara terbaik ialah dengan menghadkan perbelanjaan oleh parti semasa PRU.
2. Umpamanya jika jumlah bendera atau sepanduk atau papan iklan dihadkan bagi satu-satu kawasan yang ditandingi, perbelanjaan boleh dikurangkan.
3. Katakanlah jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan 2 papan iklan dibenar, maka kos kempen tidak akan menjadi tinggi. Saingan antara parti yang kaya dan yang miskin akan jadi lebih adil.
4. Sogokan boleh dikurang dengan orang ramai mengguna kamera untuk rekod dan lapor. Pihak polis juga boleh guna kamera. Demikian juga badan-badan pencegah rasuah.
5. Jika terdapat tiga kes sogokan, pencalonan parti berkenaan perlu dibatal.
6. Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi. Tetapi amalan sogokan secara terbuka seperti dilakukan dalam PRU 15 akan dikurangkan. Sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan.
7. Jika satu dua kes dikena tindakan, parti-parti akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan sogok wang secara yang boleh dikesan.
8. Yang penting ialah menghadkan keghairahan memasang bendera, sepanduk dan papan iklan dikurangkan. Pertandingan akan jadi lebih adil. Yang kurang kewangan pun boleh harap menang. Di masa yang sama rasuah akan dikurangkan kerana kempen tidak perlu dana yang besar.
GREEN WAVE
1. Malaysia ditadbir oleh Kerajaan majoriti Melayu selama 60 tahun.
2. Pembangunan yang pesat berlaku.
3. Kaum bukan Melayu mencapai banyak kemajuan.
4. Tak usahlah cuba menakutkan pemerintahan orang Melayu dengan menconteng mereka warna hijau.
MRT SG. BULOH / PUTRAJAYA
1. Pada hari ketiga raya saya dan isteri bersama kawan-kawan mencadang mencuba MRT dari Sungai Buloh ke Putrajaya.
2. Staff MRT sambut baik cadangan kami. Mereka turut bersama sepanjang jalan. Ini memberi peluang kepada saya bertanya beberapa soalan berkenaan prestasi MRT ini.
3. Umumnya saya dapati seolah-olah saya berada di negara maju. Perjalanannya amat baik. Demikian juga kemudahan yang disedia untuk pelanggan. Stesen juga cukup besar dan dilengkapi dengan lif dan eskalator.
4. Saya percaya kemudahan rail ini akan disambut baik oleh rakyat jika kos yang amat tinggi tidak dipedulikan.
5. Tahniah saya ucap kepada anggota pengurusan MRT Sungai Buloh / Putrajaya.
DUIT
1. Dulu duit mudah diguna.
2. Diperbuat dari logam emas, perak dan gangsa, dengan nilai yang jelas mudah diguna.
3. Lepas itu duit diperbuat dari kertas.
4. Ini juga mudah diguna.
5. Nilai duit kertas tertulis dan diterima.
6. Lepas itu ada cek – ditulis dengan tangan nilainya dan diterima.
7. Bank pun terima cek dari pemilik serta nilai cek dimasuk buku.
8. Bank juga boleh tulis cek dan beri pinjam duit yang bukan milik bank.
9. Yang penting ialah catitan dalam cek dan buku bank.
10. Sekarang tak perlu cek.
11. Tekan butang telefon bimbit, duit masuk bank.
12. Nak bayar bil tekan butang lagi.
13. Duit bergerak dari akaun pembeli ke akaun penjual.
14. Tidak ada duit, tidak ada cek.
15. Tetapi ada catitan dalam akaun bank.
16. Dan akaun ini diterima oleh pembeli, penjual dan bank.
17. Dari segi undang-undang semuanya halal, boleh diterima oleh mahkamah.
18. Yang tidak boleh diterima ialah cakap mulut.
19. Jadi kalau dituduh duit berbillion sudah diseleweng tanpa catitan, tidak laku.
20. Itulah duit sekarang, – tidak ada logam, kertas, cek atau catitan elektronik – tidak ada – tidak laku.
MELAYU ANGKUH
1. Saya terbaca bahawa Datuk Seri Anwar mengingatkan “orang Melayu supaya tidak berasa terlalu selesa dan angkuh sehingga menganggap kelompok lain tidak boleh diraikan.”
2. Saya juga dapat tahu dia membuat kenyataan itu setelah lawatan ke Kemboja dan berkata bahawa walaupun umat Islam Kemboja cuma 10 peratus, mereka diraikan, masjid tidak diroboh, hak mereka dipertahan malah diangkat sebagai menteri mewakili kepentingan mereka.
3. Kenyataan Anwar ini agak pelik serta ganjil kerana ia menghina orang Melayu sebagai angkuh dan tidak bersikap seperti majoriti orang beragama Buddha di Kemboja yang meraikan minoriti Islam.
4. Pertamanya, orang Melayu sejak sebelum dan selepas Merdeka telah meraikan ramai kaum-kaum lain.
5. Kerakyatan telah diberi kepada 1 juta pendatang tanpa memenuhi syarat dan mereka dibenar meneruskan adat-resam, budaya, sekolah, bahasa, agama dan cara hidup negara asal mereka.
6. Apabila Negara capai kemerdekaan, mereka diberi hak mengundi dan wakil-wakil mereka dilantik menjadi Menteri dan ke lain-lain jawatan tertinggi di dalam Kerajaan.
7. Bukan seorang tetapi jika dikira dari sejak merdeka sehingga ke hari ini, sudah ratusan jika tidak ribuan jika dicampur semua jawatan-jawatan menteri, timbalan menteri, setiausaha parlimen serta lain-lain jawatan penting.
8. Ekonomi Negara jelas di dalam pegangan bukan Melayu dan yang menjadi bilionair lebih 90 peratus adalah bukan Melayu.
9. Tokong-tokong besar yang dibina di merata tempat di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah merasa terancam. Begitu juga patung-patung keagamaan yang besar terdiri diserata pelusuk Tanah Melayu malahan diantara yang terbesar di dunia terdapat di Kelantan, di mana penduduk Melayunya melebihi 95 peratus.
10. Tetapi Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Melayu tidak benar isu berkait Melayu disiar. Ia dianggap perkauman.
11. Dahulu apabila saya kata Melayu malas ramai orang Melayu marah sedangkan tujuan saya untuk ingatkan bahawa kaum-kaum lain sudah menguasai hampir kesemua sektor ekonomi Negara dan jika kita tidak rajin dan bangkit, kita akan hilang segala-galanya.
12. Tetapi hari ini Datuk Seri Anwar kata Melayu angkuh dan tidak mahu raikan kaum lain sedangkan orang Melayu sudah memberi ruang seluas-luasnya untuk kaum-kaum lain sehingga bahagian untuk orang Melayu sudah hampir lupus.
13. Untuk orang Melayu pertahan serba sedikit yang tinggal itu Anwar anggap angkuh. Cuma apabila sudah tiada ada apa milik Melayu barulah tidak angkuh?
CARI GADUH
1. Hari ini hari terakhir untuk Datuk Seri Anwar dan peguamnya menjawab surat dari peguam saya yang memintanya untuk menarik balik fitnah dan meminta maaf kerana menuduh saya menyalah guna kuasa untuk memperkaya keluarga.
2. Jika tidak, saya telah arah peguam saya untuk teruskan tindakan undang-undang tersebut.
3. Selain itu, saya juga diberitahu bahawa Anwar setelah peguam saya keluar surat meminta dia menarik balik fitnahnya, ketika berdialog dengan pelajar-pelajar universiti telah berkata bahawa dia tidak mahu bergaduh dengan saya.
4. Ini agak pelik. Dia fitnah saya bermacam-macam selama berpuluh tahun. Masa itu pun bila minta tunjuk bukti, tak ada satu pun bukti yang dia tunjuk walaupun dengar cerita ada berkotak-kotak bukti dalam simpanannya.
5. Saya tidak ambil tindakan kerana saya anggap ianya perbuatan seseorang yang terdesak kerana terlampau mahu jadi Perdana Menteri.
6. Tetapi hari ini, apabila dia dah jadi Perdana Menteri dia masih teruskan fitnah. Jadi saya minta tarik balik dan jika tidak saya ambil tindakan undang-undang.
7. Itulah yang saya lakukan. Jadi siapa yang cari gaduh?
AKU PERDANA MENTERI
1. Dulu Raja berkuasa.
2. Di waktu tuntutan kemerdekaan kita setuju mengada Raja Berperlembagaan dan Dewan Parlimen berkuasa.
3. Tetapi bagaimana
4. Tak akan semua ahli dewan berkuasa.
5. Kita tentukan wakil rakyat yang mendapat sokongan ramai menjadi Perdana Menteri dan berkuasa.
6. Wah, jadi Perdana Menteri macam jadi raja.
7. Ada aturan peraturan tetapi siapa nak tegur.
8. Buat sahajalah, mereka yang tegur rasa padahnya.
9. Hey! Dalam sistem demokrasi siapa pun boleh jadi Perdana Menteri.
10. Asal dapat sokongan majoriti.
11. Tak susah
12. Tumbuk rusuk – bagi duit.
13. Tak cukup duit, curilah.
14. Tak bagi duit, bagi jawatan.
15. Apa susahnya
16. Tak tahu jadi Perdana Menteri – okay.
17. Itu tak penting.
18. Yang penting aku jadi Perdana Menteri.
19. Ramai aku-aku nak jadi Perdana Menteri.
20. Tubuh parti, tubuh parti.
21. Nah. Ramai boleh jadi Perdana Menteri.
22. Apa jadi pada negara
23. Pedulikan.
24. Aku jadi Perdana Menteri.
25. Aku jadi Perdana Menteri.
MELAYU BERSATU
1. Rupa-rupanya ada orang Melayu yang berpendapat Melayu tak mungkin bersatu.
2. Oleh itu tak usahlah cuba menyatu orang Melayu.
3. Ia tak akan berjaya.
4. Mereka yang berpendapat seperti ini tentu akan tolak sebarang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu.
5. Kalau orang Melayu tolak perpaduan apa yang akan mereka lakukan.
6. Mereka akan sokong perpecahan yang sedang berlaku di kalangan orang Melayu. Mereka akan sokong orang yang utamakan kepentingan diri, orang yang berjuang untuk dapat duit dan jawatan melalui politik, orang yang undi kerana sogokan.
7. Jangan pedulikan siapa yang sogok asalkan disogok. Yang menyogok tentulah orang yang berduit, walaupun duit itu dicuri.
8. Dan mereka akan menang dan Kerajaan akan didiri oleh mereka.
9. Kerajaan oleh pencuri, perasuah akan curi duit Kerajaan, akan pinjam berbillion untuk dicuri.
10. Akan bertambahlah hutang yang tak dapat dibayar.
11. Pedulikan. Asalkan orang Melayu dapat duit buta disebabkan perpecahan orang Melayu.
12. Bodohlah jika tak terima duit buta. Tak payah kerja dapat duit.
13. Undi sahaja.
14. Lagi berpecah orang Melayu, lagi ramai yang akan curi duit untuk sogok, lebih banyaklah duit buta yang akan didapati oleh orang Melayu.
15. Oleh itu tolaklah perpaduan.
16. Perbanyaklah parti Melayu. Jangan berhenti. Pecah lagi.
17. Akan bahagialah anak cucu Melayu sebagai pengemis duit buta.
18. Tak payah kerja. Perbanyaklah PRK, PRN dan PRU.
19. Perbanyaklah parti politik Melayu.
20. Perlekehlah semua pejuang perpaduan.
21. Hidup perpecahan.
SAYA TAKUT
1. Apa sudah jadi.
2. Saya takut.
3. Kerana di tanah air saya, di Malaysia, di Tanah Melayu saya tidak boleh bercakap berkenaan masalah orang Melayu.
4. Tidak boleh berjumpa pun. Tidak ada tempat. Semua tolak. Empat kali kena tolak “atas arahan pihak atasan”.
5. Nak lancar proklamasi orang Melayu tanpa sentuh kaum lain, itu hasutan. Sedition.
6. Saya takut.
7. Nak guna sosial media ini bolehkah???
8. Akan dituduh menghasutkah?
9. Saya minta ampun jika dakwaan ini salah.
10. Jika salah saya mengeluh tentang nasib orang Melayu, tak apalah. Saya tidak lagi akan mengeluh.
11. Orang Melayu miskin jual negara.
12. Okaylah. Orang miskin tidak perlu negara.
13. Jangan buat apa-apa.
14. Itu hasutan.